Timbalan Perdana Menteri Belgium Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
SEPANG, 2 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Belgium yang juga Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Maxime Prevot tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia.
Kunjungan ini ialah lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Februari 2025.
Beliau bersama-sama delegasi tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.48 pagi dan disambut oleh Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.
Hadir sama, Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Ikram Mohammad Ibrahim.
Lawatan Prevot bertujuan memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Belgium.
Prevot dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak akan menilai semula tahap semasa hubungan Malaysia–Belgium dan meneroka bidang kerjasama baharu, khususnya dalam tenaga boleh baharu, unsur nadir bumi dan kerjasama halal.
Perbincangan turut meliputi hubungan Malaysia–Kesatuan Eropah, serta perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Prevot juga dijadualkan menyampaikan ucaptama bertajuk "Europe and a Changing Asia Pacific" pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia serta dijangka menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Jumlah dagangan dua hala Malaysia dan Belgium mencecah RM9.74 bilion pada 2025, merangkumi eksport Malaysia sebanyak RM6.85 bilion dan import bernilai RM2.89 bilion.
Setakat 2025, sebanyak 67 projek dengan penyertaan Belgium telah diluluskan, melibatkan pelaburan berjumlah RM5.1 bilion dan berpotensi mewujudkan 4,605 peluang pekerjaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- BN Teruskan Kempen Berhemah, Jangan Layan Serangan Peribadi - Khairy
- Melaka Peruntuk Lebih RM45 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
- TLDM Nilai Sistem Peluru Berpandu Ganti NSM Untuk LCS
- Kerja-kerja Infrastruktur Di Taman Teknologi Pulau Pinang @ Bertam Siap Sepenuhnya
- Anwar Utus Surat Kepada Xi Jinping, Ucap Tahniah Sempena Ulang Tahun Parti Pemerintah China