Laluan Shah Alam Catat Lebih 60,000 Perjalanan Pada Hari Pertama Operasi
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Laluan Shah Alam kendalian Rapid KL merekodkan lebih 60,000 perjalanan penumpang pada hari pertama operasinya semalam, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap perkhidmatan rel baharu itu.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jumlah itu merangkumi perjalanan menggunakan tren, bas perantara dan Rapid KL On-Demand (ROD) yang dilancarkan secara rasmi pada Ahad lepas.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 58,865 perjalanan direkodkan menerusi perkhidmatan tren, manakala 3,319 lagi melibatkan rangkaian first-last mile Rapid KL iaitu 1,883 perjalanan menggunakan bas perantara dan 1,436 perjalanan melalui perkhidmatan ROD.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata penerimaan positif masyarakat itu sekali gus membuktikan keperluan rangkaian rel di koridor barat Lembah Klang.
Beliau berkata jumlah itu juga menunjukkan permintaan tinggi terhadap pilihan mobiliti baharu yang menghubungkan kawasan kediaman, pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan hab komersial di Petaling Jaya, Shah Alam serta Klang.
"Ini merupakan permulaan yang amat memberangsangkan. Kami akan terus memantau corak perjalanan penumpang, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan terus dipertingkat apabila semakin ramai mula menggunakan laluan ini," katanya.
Bagi melancarkan operasi, Rapid KL menempatkan petugas operasi, pegawai stesen serta Rapid Troopers di kesemua stesen Laluan Shah Alam bagi membantu penumpang mendapatkan maklumat perjalanan dan panduan pertukaran perkhidmatan bas serta ROD.
Prasarana turut mengingatkan orang ramai bahawa tawaran tambang percuma bagi semua perjalanan menggunakan Laluan Shah Alam dan perkhidmatan bas perantara di sepanjang jajaran tersebut masih diteruskan sehingga 31 Julai ini.
Maklumat lanjut mengenai Laluan Shah Alam boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.myrapid.com.my, media sosial Rapid KL atau menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-7885 2585.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Jepun Ambil Alih Semula Kawasan Perumahan Daripada Tentera AS
- Korea Selatan Tangguh Pelan Lancar Roket Angkasa Bahan Api Pepejal Atas Faktor Keselamatan
- MOTAC Gesa Pengusaha Bas Persiaran, Pelancongan Segera Kemuka Data Kos Diesel
- Kerajaan Susun Semula Pengurusan Pekerja Asing - Ahmad Zahid
- Ciri Keselamatan Pasport Ditambah Baik Secara Berkala Bagi Pastikan Selamat, Sukar Dipalsukan