Jepun Ambil Alih Semula Kawasan Perumahan Daripada Tentera AS
ISTANBUL, 30 Jun (Bernama-Anadolu) -- Jepun pada Selasa memaklumkan bahawa negara itu telah mengambil alih semula kawasan perumahan dan penempatan yang sebelum ini berada di bawah kawalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Yokohama, Wilayah Kanagawa, lapor Anadolu Ajansi.
Tentera Darat AS memulangkan semula kawasan penempatan seluas 43 hektar di bandar kedua terbesar Jepun itu berdasarkan perjanjian yang dimeterai kedua-dua negara pada 2004, menurut Kementerian Pertahanan Jepun dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi platform media sosial X.
Kementerian itu berkata satu majlis bagi memperingati pemulangan semula kawasan berkenaan akan diadakan pada September.
“Kami amat gembira kerana hasrat yang sekian lama diimpikan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Datuk Bandar Yokohama Takeharu Yamanaka.
Yamanaka turut meminta kementerian itu memastikan baki kawasan yang masih tertakluk di bawah perjanjian berkenaan dikembalikan secepat mungkin.
Pada 2004, Tokyo dan Washington bersetuju bahawa tentera AS akan memulangkan kawasan di Kanagawa seluas 419 hektar, termasuk tapak Negishi, sebagai pertukaran bagi pembinaan kira-kira 700 unit rumah oleh Jepun di kawasan Yokohama untuk tapak penempatan Ikego milik tentera AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
- PM Britain Tingkat Peruntukan Pertahanan Dengan Pakej Tambahan US$20 Bilion
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Peningkatan Pengeluaran
- Tiada Bayaran Insentif Pengeluaran Getah Untuk Jun 2026 -- LGM
- Majlis Pendidikan Negara Pacu Pembaharuan Sistem Pendidikan - PM Anwar