Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk had pembelian 50 liter, 100 liter dan 150 liter, berkuat kuasa esok.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Adam berkata pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 itu, dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lepas, mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.
Beliau berkata pembatalan itu juga selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak, yang turut berkuat kuasa mulai esok.
“Sehubungan dengan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.
Beliau berkata KPDN turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
- PM Britain Tingkat Peruntukan Pertahanan Dengan Pakej Tambahan US$20 Bilion
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Peningkatan Pengeluaran
- Tiada Bayaran Insentif Pengeluaran Getah Untuk Jun 2026 -- LGM
- Majlis Pendidikan Negara Pacu Pembaharuan Sistem Pendidikan - PM Anwar