30/06/2026 09:59 PM

Kerajaan Susun Semula Pengurusan Pekerja Asing - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan menyusun semula hala tuju pengurusan penggajian pekerja asing di negara ini bagi memastikan pelaksanaannya lebih terselaras, cekap dan menepati keperluan industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikannya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu mencapai beberapa persetujuan utama termasuk berkaitan keahlian dan terma rujukan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan turut bersetuju supaya Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing atau One Stop Centre diselaraskan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan sistem pengurusan pekerja asing menjadi lebih cekap dan berintegriti, di samping mengimbangi keperluan industri, keselamatan negara serta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan meneliti semula keperluan tenaga kerja asing secara lebih bersasar berdasarkan keperluan sebenar industri.

Pada masa sama, katanya, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui peningkatan penyertaan tenaga kerja tempatan, pengukuhan pekerja mahir serta peralihan industri ke arah automasi.

Beliau berkata setiap langkah yang diambil kerajaan dalam pengurusan pekerja asing akan terus berpaksikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA