Arab Saudi Gesa Kerjasama Lebih Erat Dengan Negara Majoriti Islam Termasuk Malaysia
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Arab Saudi menerusi Persekutuan Dewan Perdagangan Saudi (FSC) menggesa kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia pada mesyuarat Dewan Perniagaan dan Pembangunan Islam (ICCD) di Ankara, Turkiye.
Pengerusi FSC yang juga Presiden ICCD, Abdullah Saleh Kamel berkata perubahan ekonomi dunia yang pantas menuntut kerjasama lebih erat antara negara Islam, selain pemerkasaan sektor swasta untuk memainkan peranan lebih besar bagi menyokong pembangunan ekonomi.
Kamel berkata demikian di luar Mesyuarat Lembaga Pengarah ICCD ke-40 dan Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan ke-72, menurut FSC dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata penyertaan FSC sebagai wakil sektor perniagaan Arab Saudi adalah kesinambungan kepada peranan utama kerajaan itu sebagai antara penyokong terbesar ICCD sejak penubuhannya, sekali gus mencerminkan komitmen negara itu dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara Islam.
"Mesej ini juga amat relevan kepada ekonomi majoriti Islam utama seperti Malaysia dan Indonesia, yang mana pertumbuhan sektor swasta, keusahawanan belia, keterjaminan makanan, pertanian mampan serta kesalinghubungan perdagangan serantau kekal menjadi teras kepada pembangunan ekonomi jangka panjang," menurut kenyataan itu.
Beliau berkata ICCD komited untuk memperluas perdagangan dan pelaburan sesama negara Islam dalam usaha menyumbang kepada integrasi ekonomi, selain mewujudkan peluang berkualiti untuk golongan muda dan usahawan.
Semasa mesyuarat berkenaan, Lembaga Pengarah ICCD membincangkan beberapa isu berkaitan membangunkan inisiatif untuk masa depan dewan itu.
Ia turut menyusuli pelaksanaan projek dan program yang bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan pembangunan dalam kalangan negara Islam, selain membincangkan sambutan jubli emas ICCD pada 2027.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Mbappe Jaring Dua Gol, Bantu Perancis Mara Ke Pusingan 16 Piala Dunia
- Kanak-kanak Guna Ai Pada Kadar Lebih Tiga Kali Ganda Berbanding Dewasa - UNICEF
- Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
- PM Britain Tingkat Peruntukan Pertahanan Dengan Pakej Tambahan US$20 Bilion
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Peningkatan Pengeluaran