01/07/2026 08:11 AM

Mbappe Jaring Dua Gol, Bantu Perancis Mara Ke Pusingan 16 Piala Dunia

ISTANBUL, 1 Julai (Bernama-Anadolu) -- Dua jaringan Kylian Mbappe membantu Perancis membelasah Sweden 3-0 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium New York New Jersey, Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perancis membuka jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama menerusi Mbappe pada minit ke-45. 

Sepakan penjuru yang dirancang dengan baik oleh Ousmane Dembele dan Michael Olise membuka ruang kepada Mbappe, yang melepasi Viktor Gyokeres sebelum tenang menyudahkan peluang dengan rembatan ke penjuru bawah kanan gawang menewaskan Jacob Widell Zetterstrom.

Jaringan itu menyaksikan Mbappe mengumpul sembilan gol dalam perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia, sekali gus mengatasi rekod lapan gol yang dikongsi Leonidas dan Ronaldo sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah peringkat kalah mati kejohanan itu.

Perancis menggandakan kelebihan pada minit ke-53 apabila Olise melakukan hantaran kepada Bradley Barcola, yang melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Zetterstrom.

Skuad kendalian Didier Deschamps menguasai sepenuhnya perlawanan dengan mempamerkan corak permainan yang kemas dan bertenaga, selain kerap mengancam benteng pertahanan Sweden. 

Mbappe melengkapkan kemenangan Perancis pada minit ke-74 apabila menyambut satu lagi hantaran Olise yang memecah pertahanan Sweden sebelum melakukan penyudah hampir sama seperti gol pertamanya untuk menewaskan Zetterstrom.

Dua gol yang dijaringkannya itu menyaksikan Mbappe kini mengumpul enam gol, sekali gus menyamai Lionel Messi dalam saingan merebut Kasut Emas kejohanan, selain hanya ketinggalan satu gol di belakang rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia milik Messi.

Perancis akan menentang Paraguay pada pusingan 16, manakala Sweden tersingkir daripada kejohanan.

-- BERNAMA-ANADOLU