Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$130.63 Bilion Pada Akhir Mei 2026 -- BNM
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$130.63 bilion pada akhir Mei 2026, berbanding US$129.73 bilion pada akhir April 2026.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) aset mata wang asing lain berjumlah US$766.5 juta.
Bank pusat itu berkata aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing untuk 12 bulan akan datang, antara lainnya termasuk pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing, berjumlah US$6.65 bilion.
“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah US$24.67bilion pada akhir Mei 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
BNM berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Unjuran aliran masuk mata wang asing itu berjumlah US$3.04 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Sementara itu, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, yang berjumlah US$846.4 juta.
“Tidak ada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat itu.
Secara keseluruhannya, BNM berkata butiran terperinci rizab antarabangsa di bawah format Piawaian Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa menunjukkan bahawa, sehingga akhir Mei 2026, rizab antarabangsa Malaysia masih boleh digunakan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Persidangan Antarabangsa AISED 2026 Platform Strategik Memacu Masa Depan AI, Kelestarian Dan Keusahawanan
- WTO Perlu Sesuaikan Peranan Dengan Realiti Ekonomi Antarabangsa Semasa - Johari
- JIM Kelantan Tahan 13 Pati Di Gua Musang
- Permintaan Penumpang Udara Susut 2.2 Peratus Pada Mei 2026
- PRN Johor: Ng Yak Howe Mahu "Segarkan" Semula Muar, Atasi Bandar Sunyi