Persidangan Antarabangsa AISED 2026 Platform Strategik Memacu Masa Depan AI, Kelestarian Dan Keusahawanan
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Asia Institute of Sustainability, Entrepreneurship and Diplomacy (AiSED), Asia e University (AeU) dan Gaine Academy hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menganjurkan AiSED International Conference 2026 dari 2 hingga 4 Dis, di Shah Alam Convention Centre (SACC), Selangor.
Persidangan Antarabangsa yang dianjurkan di bawah naungan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung AiSED, bakal menghimpunkan pemimpin pemikiran, pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik, usahawan dan pemain industri, untuk membincangkan masa depan pembangunan mampan dalam era AI.
Bertemakan “Harnessing AI, Empowering Innovation, Advancing Sustainable Futures Through Entrepreneurship and Diplomacy”, persidangan itu dijangka menarik penyertaan dari Malaysia dan luar negara, merangkumi sektor kerajaan, akademia, industri, badan profesional, organisasi antarabangsa dan komuniti keusahawanan.
Pengerusi Persidangan Profesor Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu yang memerlukan pendekatan lebih inklusif dan kolaboratif.
“Perkembangan AI berlaku pada kadar yang sangat pantas. Pada masa yang sama, dunia turut berdepan isu perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, jurang kemahiran dan cabaran geopolitik.
“Justeru, kita memerlukan platform yang mampu menghubungkan ilmu, teknologi, dasar dan tindakan bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa persidangan ini bukan sekadar medan akademik, tetapi sebuah platform strategik meneroka AI, agar dapat dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab untuk mempercepat inovasi, memperkukuh daya saing ekonomi serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Nik Maheran berkata kerjasama antara AiSED, AeU dan Gaine Academy itu, turut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan pembangunan modal insan, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan melahirkan penyelesaian berimpak tinggi kepada cabaran semasa.
Sepanjang tiga hari persidangan, peserta akan berpeluang mengikuti ucaptama tokoh-tokoh terkemuka dunia, forum pakar, pembentangan penyelidikan, bengkel, sesi jaringan strategik dan perbincangan meja bulat yang memberi fokus kepada AI, inovasi, keusahawanan, diplomasi dan kelestarian.
Selain itu, kertas kerja terpilih berpeluang diterbitkan dalam jurnal berindeks antarabangsa termasuk SCOPUS dan MyCITE, sekali gus memperkukuh impak akademik dan penyelidikan persidangan ini.
Pihak penganjur turut mengalu-alukan penyertaan universiti, agensi kerajaan, syarikat korporat, badan profesional, misi diplomatik, penyelidik dan usahawan, untuk bersama-sama menyumbang idea serta membina kerjasama yang mampu membentuk masa depan yang lebih lestari dan inklusif.
AiSED International Conference 2026 dijangka menjadi antara platform antarabangsa paling signifikan di rantau ini, dalam memperkukuh kepimpinan pemikiran, inovasi dan kerjasama global, serta mengangkat Malaysia sebagai peneraju perbincangan pembangunan masa hadapan dalam era AI.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kerajaan Susun Semula Pengurusan Pekerja Asing - Ahmad Zahid
- Ciri Keselamatan Pasport Ditambah Baik Secara Berkala Bagi Pastikan Selamat, Sukar Dipalsukan
- Isu Tular Guna Gajah Di Majlis, Perhilitan Kaji Undang-undang, Tambah Baik SOP
- RUU Jenayah Siber 2026 Bukan Sekadar Patuhi Konvensyen Antarabangsa - MKN
- PRN Johor: Calon BN Pertaruh Rekod Khidmat Ahli Majlis MBJB Pikat Pengundi DUN Stulang