WTO Perlu Sesuaikan Peranan Dengan Realiti Ekonomi Antarabangsa Semasa - Johari
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) perlu melakukan penyesuaian terhadap realiti ekonomi antarabangsa pada masa ini untuk kekal relevan dalam keadaan persaingan yang semakin sengit dan dinamik perdagangan global yang berubah-ubah, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurutnya WTO ditubuhkan ketika usaha mengurangkan halangan perdagangan dan memperluas akses pasaran dilihat sebagai pemacu kepada kemakmuran ekonomi dan kestabilan antarabangsa, namun pembuat dasar pada masa kini berdepan persekitaran yang jauh berbeza.
"WTO perlu berupaya melakukan penyesuaian dengan realiti ekonomi antarabangsa pada masa ini. Organisasi ini perlu terus memenuhi keperluan kesemua negara anggota dan berkebolehan menangani amalan perdagangan yang bersifat diskriminasi yang berlaku di mana-mana sahaja," katanya.
Johari berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-39, anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini hari ini.
Menurut Johari, dasar ekonomi pada masa ini semakin dipengaruhi oleh pertimbangan berkaitan daya tahan ekonomi, kepimpinan teknologi, autonomi strategik serta keterjaminan rantaian bekalan.
"Dalam pelbagai aspek, perbincangan kini telah beralih daripada usaha membuka pasaran kepada persoalan bagaimana keupayaan strategik perlu dilindungi. Jika WTO tidak berubah mengikut keadaan semasa, terdapat risiko untuk WTO (akan) semakin kurang relevan," katanya.
Johari berkata dalam keadaan persaingan strategik yang semakin sengit, keperluan terhadap peraturan pelbagai hala yang berwibawa kini menjadi lebih penting.
"Kita memerlukan institusi yang berkemampuan meredakan ketidaktentuan, menguruskan pertikaian dan mengelakkan ketegangan ekonomi daripada berkembang menjadi konflik geopolitik yang lebih meluas," katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia terus memperkukuh sokongannya terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, sistem itu sendiri perlu berkembang dan melakukan penyesuaian agar terus besesuaian dalam dunia yang berubah dengan pantas.
APR ke-39 adalah persidangan antarabangsa tahunan utama anjuran ISIS Malaysia bagi pihak rangkaian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa ASEAN.
Bertemakan "Accelerating Agency and Action," persidangan yang bermula 30 Jun hingga 2 Julai 2026 itu menghimpunkan pembuat dasar, diplomat, pegawai tentera, ahli akademik, pemimpin perniagaan serta pakar badan pemikir bagi membincangkan isu utama geopolitik, ekonomi dan keselamatan yang mempengaruhi rantau Asia Pasifik.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Kawalan Penjualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatal Mulai Esok
- PM Britain Tingkat Peruntukan Pertahanan Dengan Pakej Tambahan US$20 Bilion
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Peningkatan Pengeluaran
- Tiada Bayaran Insentif Pengeluaran Getah Untuk Jun 2026 -- LGM
- Majlis Pendidikan Negara Pacu Pembaharuan Sistem Pendidikan - PM Anwar