29/06/2026 07:09 PM

Calon PH Dun Sri Medan "Cikgu Misrin" Sentiasa Tersenyum Hadapi Permasalahan Rakyat

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 29 Jun (Bernama) -- Sentiasa senyum sambil mendengar setiap permasalahan dihadapi rakyat, itulah cara calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Hishamuddin@Misrin Ishak menjalankan kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau yang mesra disapa dengan gelaran "Cikgu Misrin" berkata permasalahan terbabit akan cuba ditangani sebaik mungkin termasuk berkenaan banjir termenung yang sering menghantui penduduk Sri Medan saban tahun selain mengamalkan konsep "buat kerja dahulu, baru bercerita".

Bekas guru Matematik itu berkata menyantuni setiap warga kawasannya tanpa mengira latar belakang politik ialah pendekatan yang diutamakan, di samping mahukan pembangunan infrastruktur yang seimbang antara kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung.

“Tidak menjanjikan kemewahan, tetapi saya lebih gemar untuk menjadikan kawasan DUN ini sentiasa berada dalam zon selesa kepada setiap penduduknya bagi setiap sudut seperti kemudahan, kebajikan serta menyediakan mutu perkhidmatan yang terbaik.

“Daripada bidang ekonomi dan pendidikan saya juga tidak mahu, terutamanya golongan belia, tertinggal dengan bersedia mengadakan kursus dan program berkaitan termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendedahan kepada pendidikan digital,” katanya ketika ditemui Bernama ketika Walkabout Pekan Kangkar Senangar di sini, hari ini.

Beliau berkata pembangunan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diperhebat dan usaha membantu mereka dalam memasarkan produk akan dilaksanakan bagi memastikan usahawan dapat meningkatkan ekonomi masing-masing serta tidak tertumpu pada pasaran setempat semata-mata.

Calon PH itu akan menggunakan pengalamannya sebagai ketua kampung dalam bidang perkhidmatan komuniti serta berfungsi sebagai perantara bagi penduduk kampung dengan kerajaan selain mengurus hal ehwal pentadbiran, kebajikan, dan pembangunan setempat.

“Menjadi ketua kampung ialah satu pengalaman yang berharga buat saya dan dari situ jugalah saya berhasrat untuk meneruskan khidmat kepada rakyat agar tiada yang tercicir dalam arus dunia yang semakin moden ini,” katanya.

Memasuki hari ketiga kempen, beliau berkata penerimaan positif dalam kalangan pengundi menjadi pembakar semangatnya untuk terus berkempen.

“Saya yang merupakan calon baharu, muka baharu akan terus berfikiran positif dan berkhidmat demi kesejahteraan serta keselesaan setempat,” katanya.

Pada PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai ini, Hishamuddin berhadapan dengan calon BN yang juga penyandang Datuk Zulkurnain Kamisan, selain Ahmad Rosdi Bahari mewakili Perikatan Nasional (PN).

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA 

 

N18: SRI MEDAN: JOHOR: 33,875

1. Ahmad Rosdi Bahari (PN-PAS)

2. Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-UMNO)

3. Hishamuddin Ishak (PH-PKR)   

(2022: Datuk Zulkurnain Kamisan: BN-UMNO: Maj: 6,274)