Calon PH Sandar Rekod Cemerlang, Optimis Pertahan Kerusi DUN Senai
Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KULAI, 29 Jun (Bernama) -- Berbekalkan rekod perkhidmatan cemerlang penggal lepas, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, Wong Bor Yang menzahirkan keyakinan tinggi Pakatan Harapan (PH) akan diberikan semula mandat di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau menyifatkan rekod penggal lepas sebagai bukti kelantangan dalam memperjuangkan kebajikan rakyat, khususnya membabitkan program pengurusan banjir dan kemudahan setempat.
Wong berkata tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat sebelum ini bukanlah satu fasa suai kenal, sebaliknya merupakan kesinambungan kerja dalam selok-belok pentadbiran daerah sejak 2014.
Bekas wartawan itu berkata pengalamannya merentasi pelbagai fasa landskap politik tanah air memberi kelebihan unik kepada dirinya untuk terus memimpin DUN Senai.
"Berdasarkan pengalaman saya sejak 2014, saya sudah berkhidmat di Pejabat Ahli Parlimen Kulai sebagai Pegawai Khas. Dalam rekod perkhidmatan sepanjang 12 tahun ini, saya telah memikul pelbagai peranan, daripada blok pembangkang, menjadi sebahagian daripada kerajaan (Ahli Majlis pada 2018), sehinggalah diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Senai," kata Wong kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata variasi peranan itu mematangkan corak kepimpinannya untuk bertindak sebagai ejen penyelesai masalah yang praktikal demi kepentingan penduduk, tanpa terikat dengan retorik politik kepartian.
Mengulas mengenai pencapaian penggal lepas, Wong membuktikan kredibilitinya menerusi kelantangan mendesak agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang sekian lama membelenggu beberapa kawasan hotspot di DUN berkenaan.
"Meskipun pernah berada di blok penimbang, saya tetap menggunakan saluran petisyen dan hujah di DUN bagi mendesak kelulusan projek. Hasilnya, kerajaan negeri meluluskan RM1 juta untuk menaik taraf sistem perparitan di Taman Aman serta menyalurkan saliran ke Sungai Skudai.
"Selain itu, melalui kerjasama erat bersama Ahli Parlimen Kulai (Teo Nie Ching), satu peruntukan RM3 juta (dua projek) lagi berjaya dibawa masuk untuk menaik taraf perparitan di Peladang Kulai Besar dan Saleng, sekali gus mengeluarkan kedua-dua kawasan tersebut daripada senarai hotspot banjir daerah," katanya.
Selain isu infrastruktur asas, Wong turut memanfaatkan latar belakangnya untuk mengangkat nilai warisan sejarah Senai yang berusia lebih seabad, termasuk menghidupkan semula panggung wayang lama sebagai pusat operasi komuniti serta menaik taraf gelanggang badminton berusia 20 tahun menjadi kawasan rekreasi keluarga (Tiny Lake) menerusi dana program Sejati Madani.
Sekiranya diberi mandat untuk penggal kedua, beliau akan mendesak agenda reformasi fasiliti kesihatan tempatan yang disifatkannya sebagai semakin meruncing.
Wong yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan daripada Universiti Shih Hsin, Taiwan berkata beliau konsisten mendesak agar Hospital Kulai dinaik taraf memandangkan kemudahan 93 katil sedia ada tidak lagi munasabah untuk menampung unjuran 500,000 populasi penduduk menjelang 2030 di daerah Kulai.
"Bagi penggal baharu ini, tumpuan utama saya ialah memastikan isu kesihatan terus diselesaikan. Isu tanah bagi pembinaan klinik kesihatan baharu di Taman Mewah, Senai, yang tergendala akibat birokrasi peringkat negeri akan terus saya desak agar Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memulakan pembinaan segera," katanya.
Menghadapi persaingan daripada calon-calon baharu, Wong percaya kematangan politik Bangsa Johor yang dinamik akan menilai prestasi perkhidmatan (merit) yang berpaksikan rekod kerja yang terbukti, berbanding janji kosong.
Wong berdepan saingan tiga penjuru di DUN Senai yang mempunyai 66,635 pengundi berdaftar, menentang calon BN, Tai Chee Chee dan calon Bersama, Tew Chien How.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
PENCALONAN/NOMINATION - JOHOR
N52: SENAI: JOHOR: 66,635
1. Tai Chee Chee (BN-MCA)
2. Wong Bor Yang (PH-DAP)
3. Tew Chien How (Bersama)
(2022: Wong Bor Yang: PH-DAP: Maj: 5,921)
Berita terkini
- KPT, Yayasan Hasanah Perkukuh Kerjasama Bangunkan Bakat Negara
- Penerbit Bernama Radio Dinobat Pemenang Anugerah Liputan Media RKB
- Kerajaan Laksana 23 Inisiatif, Kurangkan Kebergantungan Import Ramuan Halal Kritikal
- Rasionalisasi Subsidi Pastikan Margin PMKS, Daya Saing Malaysia Terus Terpelihara -- MITI
- 16 Warden Bekas ATM Bertugas Di Lapan MRSM Mulai 1 Julai