29/06/2026 02:00 PM

Enam Tekad Onn Abu Bakar Pastikan Senggarang Lebih Maju, Sejahtera

BATU PAHAT, 29 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menggariskan enam tekad utama sebagai komitmen untuk membawa perubahan kepada penduduk di kawasan berkenaan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata enam tekad tersebut merangkumi aspek infrastruktur asas, pemerkasaan ekonomi tempatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Onn berkata antara keutamaan akan diberi perhatian ialah usaha menambah baik liputan Internet dan telekomunikasi di taman perumahan, kampung dan kawasan luar bandar bagi memastikan akses digital lebih berkualiti dan menyeluruh.

“Tekad kedua ialah menaik taraf lampu jalan terutama di kawasan kampung bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko jenayah dan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam aspek pembangunan fizikal, beliau berkata usaha mempercepatkan naik taraf jalan raya, longkang dan sistem saliran akan diberi penekanan bagi mengurangkan kesesakan, banjir kilat dan impak air pasang besar.

Onn turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi tempatan menerusi sokongan kepada usahawan, peniaga, nelayan, petani dan pekebun melalui latihan, pembiayaan dan peluang perniagaan.

Bagi agenda pembangunan modal insan, beliau berkata peluang dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI) akan diperluaskan untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing.

Pada masa sama, Onn bertekad untuk memperkasa Pusat Khidmat Rakyat serta memastikan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan memerlukan tidak tercicir daripada bantuan.

“Bersama kita majukan Senggarang demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

DUN Senggarang yang mempunyai 38,576 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Onn, calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.  

-- BERNAMA

 

N24: SENGGARANG - 38,576 pengundi

1. Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN-Bersatu)

2. Onn Abu Bakar (PH-PKR)

3. Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO)

(2022: Mohd Yusla Ismail: BN: Maj: 3,912)