28/06/2026 05:26 PM

PRN Johor: Pasar Borneo Nadi Komuniti Sabah, Sarawak Perlukan Penambahbaikan

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PASIR GUDANG, 28 Jun (Bernama) -- Setelah hampir dua dekad menjadi lokasi pertemuan komuniti Sabah dan Sarawak di Johor, Pasar Borneo di Taman Megah Ria di sini memerlukan sentuhan baharu menerusi penambahbaikan kemudahan serta bantuan kepada peniaga bagi memastikan hab komuniti itu terus berkembang.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sarawak, Johor Bahru Jonathan Anak George Jantai, 53, berkata pasar yang mula beroperasi pada 2007 itu bukan sekadar tempat jual beli, malah menjadi pusat pertemuan masyarakat Borneo di Johor.

Beliau berkata dianggarkan kira-kira 30,000 rakyat Sarawak menetap di Johor, manakala jumlah keseluruhan komuniti Sabah dan Sarawak di negeri itu dianggarkan antara 40,000 hingga 50,000 orang.

"Setiap minggu, masyarakat Borneo datang ke sini untuk mendapatkan makanan tradisional dan bertemu kenalan. Sebab itu kemudahan di pasar ini perlu dipertingkatkan supaya lebih selesa," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Jonathan berkata antara keperluan mendesak ialah penyediaan tandas awam, sistem pengudaraan yang lebih baik serta penambahbaikan bangunan yang kini agak panas.

"Kalau boleh, bangunan ini dinaik taraf supaya lebih sejuk dan selesa. Kemudahan tandas juga perlu disediakan kerana sekarang pengunjung tiada tandas untuk digunakan," katanya.

Beliau berkata kemudahan yang lebih moden bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah mampu menarik lebih ramai pelanggan serta membuka peluang kepada lebih ramai usahawan menyertai pasar berkenaan.

Peniaga kuih tradisional Sarawak, Margaret Anak Tanjong, 45, yang berasal dari Kapit dan menetap di Johor sejak berpuluh tahun lalu berharap Pasar Borneo dipromosikan dengan lebih meluas agar dikenali masyarakat pelbagai kaum.

Margaret yang menjual kuih tradisional seperti penjaram dan pulut panggang sejak enam tahun lalu berkata promosi lebih aktif mampu meningkatkan jumlah pengunjung sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

"Pasar ini bukan hanya untuk masyarakat Sabah dan Sarawak. Ramai juga masyarakat lain datang mencari makanan tradisional Borneo. Kalau dipromosikan dengan lebih baik, saya percaya lebih ramai akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Anak Sarawak Johor (PPASJ) Josephine Anak Jimbai, 54, berharap kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat memberi perhatian kepada keperluan peniaga kecil termasuk menaik taraf kemudahan asas, menyediakan lebih banyak ruang parkir serta bantuan modal perniagaan.

Beliau yang telah berniaga di kawasan itu hampir 25 tahun berkata ramai peniaga masih berusaha memulihkan perniagaan selepas pandemik COVID-19.

"Selepas COVID-19, keadaan perniagaan memang teruk. Kami harap kerajaan dapat memberi sedikit insentif atau peruntukan sebagai modal untuk membantu membesarkan perniagaan," katanya.

Josephine berkata usaha menarik lebih ramai usahawan muda ke pasar tradisional memerlukan pendekatan baharu dan terus dipergiat selari dengan perubahan trend perniagaan semasa.

Katanya, golongan muda kini kurang berminat menceburi perniagaan di pasar tradisional kerana lebih cenderung menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo Siew Hui berjanji akan membawa cadangan menaik taraf kemudahan di Pasar Borneo sekiranya diberi mandat.

Beliau berkata hasil pertemuan dengan peniaga dan pengunjung pasar itu mendapati beberapa kemudahan asas perlu diberi perhatian, terutama tandas awam.

"Antara perkara yang dibangkitkan ialah pasar ini langsung tidak mempunyai tandas. Ini merupakan kemudahan asas yang sepatutnya ada. Buat masa ini mereka terpaksa menggunakan tandas di bangunan sebelah dan perlu membayar," katanya.

DUN Permas menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan Teo, Baharudin Mohamed Taib daripada Barisan Nasional (BN), T. Vela daripada Perikatan Nasional (PN) serta Dr Zamil Najwah mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Terletak dalam Parlimen Pasir Gudang, DUN Permas mempunyai sebanyak 113,963 pengundi yang layak mengundi pada PRN kali ini. 

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

 

N43: PERMAS: JOHOR: 113,963

1. Baharudin Mohamed Taib (BN-UMNO)

2. Teo Siew Hui (PH-AMANAH)

3. Dr Zamil Najwah (Bersama)

4. T. Vela (PN-MIPP)

(2022: Baharudin Mohamed Taib: BN-UMNO: Maj: 7,926)

 

-- BERNAMA