PRN Johor: PH Laksana Strategi Kempen Peringkat Akar Umbi, Media Sosial - Fahmi
BATU PAHAT, 26 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan memperkukuh strategi kempen melalui gabungan gerak kerja pada peringkat akar umbi dan platform media sosial bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula secara rasmi esok.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu penting bagi memastikan segala mesej serta tawaran gabungan berkenaan dapat disampaikan secara berkesan kepada setiap lapisan rakyat.
Beliau berkata bagi PRN kali ini, PKR yang akan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memulakan gerak kerja kempen sejurus selesai proses penamaan calon pagi esok.
"Pagi esok, saya sendiri akan ke Semerah, manakala (Timbalan Presiden PKR) Nurul Izzah Anwar akan menemani (calon Senggarang) Onn Abu Bakar di Pusat Penamaan Calon DUN Senggarang. Kita juga wujudkan group (kumpulan) media rasmi untuk penyaluran maklumat calon PH dengan pantas," katanya pada sidang media selepas Program Hasrat MADANI, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata kempen PH kali ini juga akan memberikan tumpuan penuh kepada penyebaran fakta bagi memastikan pengundi mendapat maklumat yang sahih sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, Fahmi berkata keselarasan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terbukti menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi di Johor.
Beliau memberikan contoh Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bukan sahaja memacu ekonomi, malah berupaya merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
"Kemampuan PH bukan omong kosong tetapi telah terbukti di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang. Dengan tokoh berwibawa seperti Dr Maszlee Malik di Puteri Wangsa dan Onn Abu Bakar di Senggarang, kita yakin mampu membawa perubahan di Johor," katanya.
Mengenai manifesto PH, beliau mengesahkan gabungan itu akan meluncurkan manifesto khusus untuk PRN Johor dalam masa terdekat.
Sementara itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan pasukan petugas khas bersama SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Media Malaysia bagi memantau dan menangkis penularan berita palsu sepanjang PRN.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menyantuni dan mendengar aspirasi warga Senggarang, selain menonton tayangan 'wayang pacak' filem Blood Brothers bersama penduduk setempat bersempena dengan program berkenaan.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lelaki Memandu Di Bawah Pengaruh Dadah Langgar Lima Kenderaan
- ASEAN Perlu Bergerak Ke Arah Ekosistem STI Lebih Bersepadu - Chang
- PRN Johor: PH Laksana Strategi Kempen Peringkat Akar Umbi, Media Sosial - Fahmi
- Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja Hari Polis Ke-219
- RWMF Kekal Festival Muzik Bertaraf Dunia, Tarik Ribuan Pengunjung