PRN Johor: Pilih Calon Mampu Teruskan Kesinambungan Pentadbiran Negeri - Azalina
PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disaran memilih calon yang mampu menjamin kesinambungan pentadbiran dengan kerajaan negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan berkesan.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata setiap parti politik mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menawarkan calon kepada rakyat, namun pengundi perlu membuat pilihan yang mengambil kira kepentingan pentadbiran negeri.
Beliau berkata secara peribadi, calon Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk menawarkan khidmat lebih baik kepada rakyat di Johor memandangkan negeri itu ditadbir oleh BN.
“Saya nak mengingatkan pengundi Johor, undi calon BN, kelebihan pertama sekali dalam peringkat negeri kerana ini pilihan raya negeri bukan peringkat pusat.
“Kalau kita lihat hari ini, ketua kampung, jawatankuasa kerja kampung dan sebagainya memerlukan hubungan yang sangat akrab dengan kerajaan negeri. Jadi saya harap pengundi menggunakan kebijaksanaan untuk undi parti dan calon yang dapat mewujudkan kesinambungan dengan kerajaan negeri. Itu pandangan peribadi saya,” katanya.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di sini hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas, menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari mengundi.
Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Maszlee Cadang Perkenal Aplikasi Khas Selami Masalah Penduduk Puteri Wangsa
- Perbaiki Infrastruktur, Atasi Keciciran Pelajaran Fokus Utama Maszlee Di Puteri Wangsa
- Ringgit Tinggi Berbanding Dolar AS Dalam Dagangan Awal
- Pengagihan Peruntukan Negeri, Larangan Umum Projek Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini
- Kes Dana Armada: Syed Saddiq Tiba Di Istana Kehakiman Bagi Keputusan Kekal Bebas Atau Penjara