Dua Maut, Lima Cedera Nahas Dua Kenderaan Di Lenggong
IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Dua maut manakala lima wanita cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran Restoran Tasik Raban dekat Lenggong petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Zuraida Abu Bakar, 47, penumpang belakang yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey manakala Melvindar Singh Gamum Singh, 41, ialah pemandu Toyota Vios.
Sabarodzi berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.57 petang.
“Kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sabarodzi berkata mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya pada 6.12 petang.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bekalan Bahan Api Di Rangkaian Stesen Petronas Kekal Stabil Hingga Ogos
- Advokasi Akta Kanak-kanak, Antibuli Dan Kesalahan Seksual Akan Dilaksana - Fadhlina
- Polis Tumpas Sindiket Penipuan Pelaburan Minyak Wangi
- Sepanyol Catat Lebih 200 Kematian Akibat Gelombang Haba Dalam Empat Hari
- Iraq Nafi Laporan Kemungkinan Keluar OPEC