25/06/2026 07:52 PM

Beberapa Negara Zahir Minat Sertai Latihan MALINDO

Oleh Nik Nurfaqih Nik Will

BANDAR LAMPUNG (Indonesia), 25 Jun (Bernama) -- Beberapa negara termasuk Jepun telah menyatakan minat untuk menyertai edisi akan datang latihan ketenteraan dua hala Malaysia-Indonesia (MALINDO).

Panglima Briged Pertama Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Zamri Othman berkata minat itu disampaikan oleh wakil tentera asing yang dijemput untuk mengambil bahagian sebagai pemerhati semasa latihan MALINDO ke-12 yang diadakan di Provinsi Lampung Indonesia, di hujung selatan Pulau Sumatera.

“Saya pun ada berbincang dengan beberapa pemerhati, antaranya daripada negara Jepun. Mereka berminat untuk menyertai eksesais seperti ini pada masa depan,” katanya kepada Bernama pada majlis penutup acara itu di sini, Khamis.

Diadakan dari 16 hingga 26 Jun di bawah Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (GBC) dan Jawatankuasa Latihan Bersama Malaysia-Indonesia (JKLB MALINDO), latihan itu diselaraskan oleh Markas Angkatan Bersama Malaysia (MK AB) dan melibatkan anggota dari ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama rakan sejawatan dari Indonesia.

Selain Jepun, latihan tahun ini yang memfokuskan pada bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR) turut disaksikan oleh wakil tentera dari Amerika Syarikat, Australia, Timor-Leste dan Singapura.

Bagaimanapun, Zamri berkata latihan MALINDO kini dijalankan secara dua hala hanya melibatkan Malaysia dan Indonesia, dan sebarang cadangan untuk memasukkan negara lain memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Beliau berkata sekiranya latihan itu diperluas atau dikembangkan pada masa depan, kemungkinan nama eksesais itu boleh ditukar.

“Tetapi konsep pelaksanaan mungkin boleh dijadikan sebagai eksesais yang hampir sama dengan apa yang kita lakukan," katanya.

Sambil menyifatkan latihan tahun ini sebagai satu kejayaan, Zamri berkata ia mencerminkan kerjasama padu antara angkatan tentera kedua-dua negara dan menekankan kepentingan meneruskan latihan dua hala itu pada tahun-tahun akan datang.

“Apa yang kita lihat di sini ialah kerjasama daripada kedua-dua pihak sangat jitu dan saya nampak eksesais ini perlu diteruskan atau dikekalkan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata latihan MALINDO seterusnya dijadual dianjurkan oleh Malaysia pada 2029, dengan butiran lanjut akan dibincangkan bersama oleh kedua-dua pihak.

Ditanya sama ada selang tiga tahun antara latihan terlalu lama, Zamri mengakui mengadakan latihan dengan lebih kerap akan membantu mempertajam kemahiran dan keupayaan kedua-dua angkatan tentera, tetapi berkata kos yang tinggi dan perancangan meluas yang diperlukan bermakna cadangan itu memerlukan pertimbangan lanjut.

Beliau berkata sebanyak 154 anggota Angkatan Tentera Malaysia daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia mengambil bahagian dalam latihan tahun ini, termasuk pakar dalam bidang kejuruteraan, perkhidmatan perubatan, siber, maritim dan operasi udara.

Selain latihan lapangan, Zamri berkata latihan itu termasuk dua projek Program Tindakan Sivik Jurutera (ENCAP) yang diusahakan bersama oleh anggota tentera Malaysia dan Indonesia, melibatkan pembinaan jalan kampung konkrit dan pembinaan semula dua rumah yang tidak lagi sesuai untuk diduduki.

Zamri berkata kedua-dua rumah itu telah dirobohkan dan dibina semula oleh kakitangan dari kedua-dua negara selama kira-kira dua minggu sebelum diserahkan kepada pemiliknya pada majlis Khamis.

Beliau menambah projek ENCAP turut berfungsi sebagai komponen praktikal latihan HADR dengan mengukuhkan kerjasama awam-tentera sambil meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat terhadap bencana alam.

MALINDO kali pertama diadakan pada 1981 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA