25/06/2026 06:46 PM

Nelayan Hilang Jatuh Laut Di Pulau Betong

GEORGE TOWN, 25 Jun (Bernama) -- Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Pulau Betong di sini, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang menerima maklumat awal berhubung kejadian itu menerusi aduan awam pada 10.15 malam.

“Susulan maklumat terperinci yang diperoleh, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan sebuah bot peronda APMM telah diatur gerak ke lokasi kejadian sekitar 10.30 malam.

“Sehingga awal pagi ini, operasi CARILAMAT telah diperhebat dengan penglibatan dua aset kapal dan bot Maritim Malaysia, serta turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor pencarian di lapangan turut diperluas sehingga hampir 19 batu nautika persegi dengan tumpuan diberikan di kedudukan terakhir mangsa dilaporkan berada.

Muhammad Suffi berkata keadaan cuaca yang kurang baik di lokasi operasi sedikit menyukarkan usaha pencarian, namun pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi mengesan mangsa dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA