25/06/2026 04:42 PM

MCKK Premier 7s Kekalkan Standard Tinggi, Hanya Pilih Pasukan Terbaik

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Edisi ke-14 Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s akan kembali dengan persaingan lebih sengit membabitkan 24 sekolah yang mengambil bahagian, berlangsung dari 3 hingga 5 Julai di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s Muhammad Asri Rafa'i berkata kejohanan berprestij itu akan mengekalkan format 24 pasukan, menampilkan 22 pasukan ragbi sekolah terbaik negara bersama dua pasukan dari luar negara yang turut menyertai edisi terdahulu.

“Pembaharuan bagi tahun ini ialah kami mengekalkan standard pemilihan dengan hanya memilih pasukan terbaik, sekali gus memastikan kualiti persaingan kekal pada tahap tinggi.

“Sebagai contoh, Sekolah Menengah Presint 11 (1), yang muncul juara di Putrajaya akan mewakili Wilayah Persekutuan buat kali pertama pada kejohanan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kejohanan selama tiga hari itu akan menyaksikan kembalinya bekas juara seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor Bahru serta pasukan tuan rumah, MCKK.

MCKK memaklumkan juara bertahan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) juga akan kembali ke Kuala Kangsar dengan penuh keyakinan selepas menjuarai MCKK Premier 7s 2025.

SSMP muncul juara selepas menewaskan juara bertahan SSTMI.

-- BERNAMA