25/06/2026 04:37 PM

Kerjasama Syarikat Tempatan, MNC Mampu Perkukuh Jenama Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Usaha kerjasama antara syarikat-syarikat tempatan dan firma multinasional (MNC) dapat menjadi model atau kaedah sesuai bagi memperkukuh jenama Malaysia serta melonjakkan negara daripada sekadar menjadi sebagai hab pengeluaran.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata syarikat tempatan perlu giat membangunkan produk, perkhidmatan, teknologi, keunikan dan penjenamaan untuk kekal berdaya saing di tengah-tengah cabaran ekonomi global.

“Ini bukannya ‘syok sendiri’ dalam usaha mengubah ‘Dibuat di Malaysia’ kepada ‘Dibuat Oleh Malaysia’; ini berikutan trend ekonomi global yang menyaksikan kita berdepan persaingan sengit, bukan hanya di rantau ini tetapi daripada ekonomi utama (dunia).

“Pada masa sama, kita turut berdepan dasar perlindungan yang adakalanya terlalu ekstrim seperti melibatkan tarif dan sebagainya selain kepesatan perubahan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jalinan kerjasama antara pengendali Tealive Loob Holding Sdn Bhd dan Dutch Lady Milk Industries Bhd.

Hadir sama, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia Veronika Utami dan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Bryan Loo.

Sim berkata model ekonomi Malaysia sebelum ini banyak menumpukan aspek pembangunan kilang dan produk pengeluaran manakala teknologi, jenama serta reka bentuk dikendalikan oleh syarikat asing.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa syarikat Malaysia tidak sekadar bergantung kepada model sedemikian, sebaliknya perlu bertindak membangunkan keupayaan masing-masing demi kemampanan jangka panjang.

Sambil menjadikan kerjasama Tealive dan Dutch Lady sebagai contoh, Sim berkata kerjasama itu juga membuktikan impak pelaburan MNC di Malaysia dalam meningkatkan lagi nilai sesebuah syarikat tempatan.

“Tealive adalah jenama Malaysia dan kerjasama dengan MNC ini adalah satu model yang amat bagus.

“Syarikat yang melabur di Malaysia juga sepatutnya melabur dalam meningkatkan nilai syarikat tempatan,” katanya.

Pada majlis sama, Tealive dan Dutch Lady memperkenalkan MooTea iaitu minuman teh susu istimewa dan MeowCha sejenis minuman berasaskan sebuk teh hijau atau ‘matcha’ yang menjadi rangkaian minuman teh susu sedia diminum dan berinspirasikan kegemaran di kafe.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Tealive dalam inovasi minuman dan cita rasa popular dengan kepakaran tenusu, keupayaan pembuatan dan rangkaian pengedaran runcit seluruh negara milik Dutch Lady Malaysia untuk menghasilkan minuman tenusu sedia diminum bagi pasaran massa.

Produk minuman itu kini dijual di outlet runcit utama termasuk Jaya Grocer, 99 Speedmart serta pasar raya utama dan rangkaian kedai serbaneka.

-- BERNAMA