25/06/2026 11:41 AM

Saifuddin Ucap Tahniah Kepada Jabatan Penjara Atas Pengiktirafan MBOR

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia, khususnya Pusat Koreksional Batu Gajah atas pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu diterima untuk penganjuran Kursus Asas Sokongan Hayat (BLS) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) kepada 42 orang prospek.

Beliau berkata kejayaan berkenaan membuktikan bahawa institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi sebuah institusi pemulihan yang memberikan peluang kedua kepada individu untuk membina semula kehidupan mereka.

“Melalui latihan seperti ini, prospek bukan sahaja dibekalkan dengan kemahiran menyelamatkan nyawa yang diiktiraf, malah dipupuk dengan nilai kemanusiaan, disiplin, tanggungjawab dan keyakinan diri sebagai persediaan untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

“Inilah falsafah yang terus menjadi teras Jabatan Penjara, iaitu memulihkan bukan menghukum semata-mata,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata matlamat akhir jabatan itu adalah untuk memastikan setiap prospek yang kembali ke pangkuan masyarakat mempunyai kemahiran, nilai dan keupayaan untuk menyumbang secara positif kepada keluarga, komuniti dan negara.

“Syabas kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia, Hospital Batu Gajah serta semua pihak yang menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat dilaksanakan dalam usaha memperkukuh agenda pemulihan dan integrasi sosial demi kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA