25/06/2026 08:38 AM

Pusat Koreksional Batu Gajah Laksana Kursus BLS, AED Bertauliah Pertama Untuk Prospek Penjara

BATU GAJAH, 25 Jun (Bernama) -- Pusat Koreksional Batu Gajah mencipta sejarah apabila menjadi institusi penjara pertama di Malaysia melaksanakan Kursus Asas Sokongan Hayat (BLS) dan Automated External Defibrillator (AED) bersijil, sekali gus direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara Fayrouz Ahmad Zawawi berkata program yang melibatkan 42 prospek terdiri daripada 30 wanita dan 12 lelaki itu, selaras dengan aspirasi Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan proses pemulihan prospek secara holistik.

Beliau berkata kursus berkenaan bukan sahaja memberikan pendedahan mengenai kemahiran menyelamatkan nyawa, malah membentuk nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial, disiplin dan keyakinan diri dalam kalangan prospek.

“Kemahiran asas seperti bantuan pernafasan, resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED ialah ilmu yang amat bernilai kerana ketika situasi kecemasan, tindakan pantas dalam beberapa minit pertama mampu menentukan antara hidup dan mati seseorang.

"Penglibatan prospek dalam program itu membuktikan setiap individu mempunyai potensi untuk berubah, memperbaiki diri, dan seterusnya memberikan sumbangan positif kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan kursus berkenaan di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini.

Fayrouz berkata proses pemulihan di institusi penjara bukan sekadar melahirkan individu yang patuh kepada undang-undang, sebaliknya bertujuan membentuk insan yang berkemahiran, berilmu dan mampu menjadi aset kepada negara.

Beliau berkata pencalonan rasmi ke dalam MBOR sebagai bukti komitmen tinggi Jabatan Penjara Malaysia dalam melaksanakan program pemulihan yang inovatif serta berimpak tinggi kepada prospek.

“Pencapaian itu bukan semata-mata untuk mencipta rekod, tetapi lebih penting sebagai simbol kesungguhan, dan keupayaan institusi pemulihan negara dalam menyediakan peluang kedua kepada prospek untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Batu Gajah Dr J. Jayakumaran berkata program berkenaan hasil kerjasama strategik antara Pusat Koreksional Batu Gajah dan Hospital Batu Gajah, dengan latihan dikendalikan oleh pakar kecemasan serta pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Idea penganjuran program itu lahir selepas pihak hospital mencari inisiatif yang dapat memberikan manfaat kepada prospek, sebelum berbincang dengan Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah Penolong Komisioner Penjara S. Tanabal yang kemudiannya bersetuju untuk melaksanakan kursus berkenaan. 

"Usaha itu kemudiannya dikembangkan dengan permohonan kepada MBOR memandangkan ia program latihan BLS bertauliah pertama seumpamanya melibatkan prospek di negara ini, dan Hospital Batu Gajah amat berbesar hati turut menerima pengiktirafan itu," katanya.

Beliau berkata dengan kelulusan itu peserta kini diiktiraf sebagai pengamal BLS yang bertauliah, dan diharapkan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan kepada masyarakat serta meningkatkan peluang pekerjaan apabila mereka kembali berintegrasi dalam komuniti kelak.

Sementara itu, seorang prospek wanita yang dikenali sebagai Lyn, 44, berkata kursus itu membuka ruang kepadanya untuk mempelajari ilmu menyelamatkan nyawa yang sebelum ini tidak pernah diperoleh.

“Pada mulanya saya berasa sukar untuk memahami teknik CPR dan penggunaan AED, namun selepas mengikuti latihan teori dan amali yang diberikan oleh tenaga pengajar, saya lebih yakin untuk bertindak sekiranya berdepan situasi kecemasan.

“Ilmu ini sangat berguna dan saya berharap dapat memanfaatkannya apabila kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat nanti memandangkan suami dan ayah saya mempunyai masalah kesihatan jantung,” katanya yang berasal dari Perlis.

Seorang lagi prospek lelaki yang dikenali sebagai Uda, 33, yang berasal dari Kedah berkata latihan yang diterima sepanjang program itu memberikan motivasi untuk terus memperbaiki diri dan menjadi individu yang lebih berguna kepada masyarakat.

“Program seperti ini memberikan peluang kepada kami untuk mempelajari perkara baharu. Ia menunjukkan bahawa kami juga diberi ruang untuk menimba ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA