24/06/2026 10:25 PM

FKRK 2026 Kembali Meriahkan Tok Bali Pada Julai

KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 kembali memeriahkan persada seni dan budaya dari 1 hingga 4 Julai di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh.

Program tahunan itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama-sama Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta serta komuniti setempat.

JKKN Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran festival itu bertujuan memelihara dan memartabatkan warisan budaya tradisional Kelantan agar terus dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Langkah ini juga selaras dengan matlamat JKKN dalam memperkasakan seni budaya sebagai pemangkin kepada perpaduan, pelancongan dan ekonomi kreatif negara.

“Selain menjadi platform utama mempromosikan seni budaya tempatan, FKRK 2026 turut berperanan sebagai medium memperkukuh industri pelancongan budaya di Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran festival itu juga membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni, usahawan dan komuniti setempat memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Sepanjang empat hari festival, pelbagai pengisian menarik dan aktiviti interaktif untuk seisi keluarga dirancang, antaranya persembahan tradisional negeri seperti dikir barat, wayang kulit, makyung dan menora Siam.

Selain itu, turut diadakan persembahan muzik pergendangan tradisional, pertandingan mencungkil bakat dan demonstrasi pembuatan wau.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diundang menyaksikan keunikan warisan budaya Kelantan yang kaya dengan nilai seni dan identiti tersendiri, bertepatan dengan slogan festival “Pakat Maghi Belako, Tengok Meney Kito”.

Maklumat lanjut festival boleh diperoleh di media sosial rasmi JKKN Kelantan atau menghubungi urus setia program menerusi talian 09-741 7000.

-- BERNAMA