24/06/2026 07:48 PM

Kuala Lumpur Sasar Minimum Empat Emas Acara Tenis Di SUKMA 2026

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kontinjen tenis Kuala Lumpur menyasarkan sekurang-kurangnya empat pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berdasarkan prestasi semasa pemain dan kekuatan barisan yang dimiliki.

Ketua jurulatih tenis Kuala Lumpur Abdul Hazli Zainuddin berkata sasaran itu dianggap realistik, namun pasukan berpotensi untuk melakar pencapaian lebih baik sekiranya pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik sepanjang temasya.

“Kami punya sasaran minimum ialah empat pingat emas. Secara dalaman, sudah tentu kami mahu melakukan lebih baik daripada itu tetapi berdasarkan prestasi semasa pemain dan barisan yang kami ada, empat emas adalah sasaran yang realistik.

“Kami percaya pasukan ini mampu mencabar untuk beberapa lagi pingat tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu kepada pemain,” katanya selepas sidang media Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur 2026 di Holiday Inn di sini hari ini. 

Abdul Hazli berkata skuad Kuala Lumpur turut diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan, termasuk Imran Daniel Abdul Hazli dan Darshan Suresh Kumar, yang pernah menyumbang pingat di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata persiapan menghadapi SUKMA telah dirancang sebaik sahaja berakhirnya temasya edisi lepas di Sarawak, dengan program pembangunan dan pemilihan pemain dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh dua tahun.

“Kami mula merancang sejak tamat SUKMA Sarawak. Dalam tempoh dua tahun ini, kami menjalankan proses perekrutan, saringan, latihan dan sokongan kepada pemain sebagai sebahagian daripada persiapan menuju SUKMA,” katanya.

Abdul Hazli ketika mengulas mengenai cabaran daripada negeri lain menyifatkan Selangor, Sarawak dan Perak sebagai antara pencabar utama dalam acara tenis.

“Selangor memang kuat, Sarawak juga sentiasa memberi saingan sengit manakala Perak mempunyai beberapa pemain berkualiti yang mampu mencabar. Kadang-kadang ada pemain yang kurang dikenali tetapi persiapan mereka boleh memberi kejutan dalam kejohanan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (Tennis KL) Mirzan Mahathir merasmikan Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos ini. 

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM81,500 dan dijangka menarik lebih 200 pemain dari Malaysia serta luar negara termasuk Thailand, Indonesia, Korea dan Filipina.

Terbuka Kuala Lumpur antara kejohanan tenis utama dalam kalendar tenis negara dan sebahagian daripada Sirkit Kebangsaan anjuran Persatuan Tenis Malaysia (Tennis Malaysia).

-- BERNAMA