RUU Penjara (Pindaan) 2026 Buka Ruang Penglibatan Sukarelawan Dalam Pemulihan Banduan
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan penubuhan sukarelawan penjara bagi membantu melaksanakan program pemulihan banduan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika membentangkan RUU itu berkata ia merangkumi 12 fasal dan empat subfasal termasuk seksyen baharu berkaitan sukarelawan bagi membantu pegawai penjara melaksanakan program pemulihan di bawah Akta Penjara 1995.
Beliau berkata pindaan itu bagi memastikan peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan penjara kekal relevan dan responsif terhadap perkembangan semasa perkhidmatan korektif negara, serta selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
“Seksyen baharu 66A yang dicadangkan bertujuan untuk memberi komisioner jeneral kuasa untuk melantik apa-apa bilangan sukarelawan sebagaimana yang perlu untuk membantu pegawai penjara untuk melaksanakan apa-apa program pemulihan di bawah Akta Penjara 1995 (Akta 537),” katanya.
Shamsul Anuar berkata penglibatan komuniti merupakan antara empat fokus utama yang diberi perhatian menerusi RUU berkenaan selain menangani isu kesesakan penjara, memperkukuh tadbir urus dan keselamatan institusi penjara serta memperkasa program pemulihan, latihan kemahiran dan pekerjaan banduan.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata RUU itu turut mencadangkan pemasangan peranti pengawasan elektronik kepada banduan tertentu bagi memantau pergerakan dan keberadaan banduan sama ada di dalam atau di luar penjara.
“Bahagian ini juga memperuntukkan kesalahan dan penalti bagi ketidakpatuhan terhadap terma dan syarat tersebut serta bagi perbuatan mengganggu, merosakkan, memusnahkan atau menghilangkan peranti pengawasan elektronik yang dipasang,” katanya.
Di bawah RUU itu juga, Shamsul Anuar berkata turut dicadangkan penalti am dinaikkan dari denda tidak melebihi RM500 kepada RM5,000 dan tempoh penjara tidak melebihi enam bulan kepada tidak melebihi setahun bagi kesalahan atau peraturan di bawah Akta 537 yang tidak diperuntukkan secara nyata.
Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata RUU tersebut turut memperluas tafsiran “banduan” kepada banduan yang dilepaskan secara lesen di bawah Seksyen 43 selaras dengan sasaran Jabatan Penjara Malaysia untuk membolehkan dua pertiga banduan yang layak menjalani program pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.
Beliau berkata RUU berkenaan turut mencadangkan penubuhan seksyen baharu berkaitan perlindungan terhadap pegawai penjara atau mana-mana individu yang bertindak mengikut perintah, arahan atau suruhan komisioner jeneral daripada tindakan undang-undang.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka
- IATA Tetapkan Empat Keutamaan Atasi Kegagalan Rantaian Bekalan Aeroangkasa
- Balai Gema Hikayat Tarik Lebih 8,000 Pengunjung