FAMA Giat Langkah Intervensi Bantu Stabilkan Harga Durian Di Pasaran
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mempergiat langkah intervensi bagi membantu menstabilkan harga durian yang terjejas akibat lambakan bekalan raja buah itu di pasaran ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA Faizal Iswardi Ismail berkata musim durian yang berlaku serentak di kebanyakan negeri dari Jun hingga Ogos serta faktor cuaca yang baik melonjakkan bekalan, sekali gus menjadikan pengeluaran negara terus meningkat berbanding 600,000 tan metrik pada 2024.
"Hasil pemantauan FAMA mendapati harga durian kampung di sesetengah kawasan kini berada pada harga antara RM1 hingga RM4 sekilogram bergantung dari segi lokasi dan kualiti buah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, bagi mengurangkan impak situasi berkenaan, FAMA menyasarkan pembelian langsung sebanyak 1,000 tan metrik durian bernilai RM7 juta menerusi 42 pusat operasinya di seluruh negara.
Beliau berkata langkah itu diperkukuh oleh syarikat dan usahawan bimbingan FAMA yang membantu menyerap bekalan melalui pembelian 1,199 tan metrik bernilai RM3.28 juta, selain pembukaan 90 lokasi jualan buah-buahan bermusim terutamanya di Pahang, Perak dan Selangor.
Mengulas harga varieti premium seperti Musang King yang kini turun di bawah RM30 sekilogram, beliau berkata mekanisme harga lantai sedia ada hanya bagi durian kampung untuk melindungi pendapatan pekebun kecil.
"Harga lantai ketika ini (RM2.70 sekilogram) hanya melibatkan durian kampung sahaja dan belum diperluaskan kepada varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA Noorsham Ramly berkata pasaran eksport ke China melibatkan 145 pusat pemprosesan berlesen kini menyerap 60 peratus daripada jumlah eksport negara yang bernilai RM1.5 bilion setahun.
"Malaysia mempunyai kelebihan kerana jenama Musang King lebih awal dikenali di pasaran antarabangsa dan ini memberi nilai tambah kepada produk tempatan," katanya dan menambah FAMA giat memperluas eksport ke pasaran baharu seperti Kanada, United Kingdom, New Zealand dan Jepun.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata FAMA sedang meneliti cadangan perlindungan petunjuk geografi (GI) dan sistem kod QR bagi mengesahkan ketulenan dan asal-usul durian Malaysia serta memperkukuh sistem kebolehkesanan, penggredan, pembungkusan dan pelabelan (GPL) durian Malaysia di peringkat global.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka
- IATA Tetapkan Empat Keutamaan Atasi Kegagalan Rantaian Bekalan Aeroangkasa