24/06/2026 04:58 PM

PH Pahang Umum Pelantikan Barisan Kepimpinan Baharu

KUANTAN, 24 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pahang mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan baharu 2026 bagi memperkukuh kerjasama dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). 

Sekretariat PH Pahang dalam kenyataan memaklumkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan hari ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang Datuk Ahmad Farhan Fauzi dilantik sebagai Pengerusi PH negeri. 

Sekretariat itu memaklumkan Pengerusi DAP Pahang Lee Chin Chen serta Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 1 dan 2. 

Turut tersenarai dalam pelantikan baharu itu ialah Ketua Penerangan PKR Pahang Datuk Dr Suhaimi Ibrahim sebagai setiausaha manakala Pengarah Pilihan Raya PKR Pahang Dr Sim Chon Siang dilantik sebagai bendahari. 

Selain itu, Adnan Mohamed Lazim daripada PKR dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya, Ibrahim Sulaiman daripada Amanah (Pengarah Komunikasi dan Penerangan) serta Rizal Jamin daripada PKR (Pengarah Strategi).

“Pelantikan kepimpinan baharu ini diyakini akan memperkukuh struktur organisasi PH Pahang dalam memastikan gerak kerja parti pada semua peringkat dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Sekretariat itu memaklumkan mesyuarat tersebut turut menetapkan beberapa agenda utama, antaranya semua parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah akan digerakkan bagi menyusun jentera serta melaksanakan aktiviti di semua kawasan demi memastikan kesiapsiagaan yang optimum dalam menghadapi PRU16.

Menurut sekretariat itu, PH Pahang juga akan membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebagai manifestasi kesepaduan dan semangat kerjasama parti pada peringkat kebangsaan.

“PH akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan antara pimpinan dan akar umbi, pemantapan kesiapsiagaan jentera serta perluasan gerak kerja penerangan dan khidmat masyarakat di seluruh negeri,” menurut kenyataan itu. 

Dalam masa sama, PH Pahang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan terdahulu atas jasa, sumbangan serta komitmen yang diberikan dalam menerajui serta memperkukuh PH di negeri itu.

-- BERNAMA