23/06/2026 07:26 PM

Bursa Malaysia Catat Penurunan Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Berterusan

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penurunannya pada Selasa apabila pelabur terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan serta ketiadaan pemangkin pasaran yang jelas, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.23 peratus atau 20.92 mata untuk ditutup kepada paras terendah intra hari iaitu 1,679.92 daripada paras 1,700.84 ketika ditutup Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi, naik 2.26 mata kepada 1,703.10 yang turut merekodkan paras tertinggi bagi sesi berkenaan.

Keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 878 berbanding 325, manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.35 bilion unit bernilai RM3.12 bilion daripada 3.29 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati disebabkan para pelabur tidak bersedia untuk bertindak sebagai pembeli di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Walaupun perjanjian damai baru-baru ini telah membantu mengurangkan kebimbangan segera terhadap konflik yang lebih besar di Asia Barat, peserta pasaran terus memantau perkembangan semasa dengan teliti memandangkan keadaan yang masih belum stabil.

Bagaimanapun, penurunan harga saham baru-baru ini telah menjadikan penilaian beberapa saham berwajaran tinggi lebih menarik, yang berpotensi merangsang aktiviti memburu saham berharga murah sekiranya faktor luaran kembali pulih.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,700 bagi baki minggu ini,” kata Thong kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan harga saham teknologi di Wall Street baru-baru ini telah menambah kepada ketidaktentuan yang tinggi pada saham-saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi dalam segmen pasaran lain kekal agak berdaya tahan, yang membayangkan para pelabur mungkin sedang beralih secara berperingkat ke dalam sektor yang menawarkan penilaian lebih menarik dan unjuran pendapatan yang lebih jelas dan kukuh.

“Pada pandangan kami, peralihan pelaburan seperti ini berpotensi menyokong sektor-sektor yang berorientasikan pasaran domestik di Malaysia. Di peringkat sektor, kenaikan adalah terhad dengan saham perladangan muncul sebagai antara segmen yang mencatatkan prestasi positif susulan harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals jatuh 21 sen kepada RM4.06, Maxis merosot 14 sen kepada RM3.24, CelcomDigi susut 10 sen kepada RM2.65, IOI Properties berkurangan 11 sen kepada RM4.03 dan PPB Group turun 21 sen kepada RM9.41.

Antara saham aktif, Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 76 sen, syarikat yang baru disenaraikan di pasaran ACE, HSS Holdings tidak berubah pada 18 sen, Top Glove jatuh 2.0 sen kepada 69 sen, Dagang NeXchange hilang 4.0 sen kepada 42.5 sen dan SKP Resources meningkat 2.5 sen kepada 30 sen.

Bagi saham paling untung, Ajinomoto melonjak RM3.80 kepada RM19.00, United Plantations meningkat RM1.00 kepada RM32.96, Batu Kawan meraih 76 sen kepada RM21.56, KLK naik 68 sen kepada RM21.60 dan Johor Plantations melonjak 9.0 sen kepada RM1.84.

Dalam kalangan saham paling rugi, MPI susut RM2.34 kepada RM46.50, UMS Integration merosot 82 sen kepada RM8.20, Kellington jatuh 44 sen kepada RM7.28, Hong Leong Bank menyusut 40 sen kepada RM21.72 dan Sam Engineering turun 36 sen kepada RM4.83.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 162.13 mata kepada 12,440.66, Indeks FBM Top 100 merosot 159.37 mata kepada 12,277.24 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 173.01 mata kepada 12,312.48.

Indeks FBM Mid 70 merosot 258.38 mata kepada 17,778.71 dan Indeks FBM ACE merosot 72.97 mata kepada 4,719.68.

Berdasarkan sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 228.09 mata kepada 19,773.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 4.16 mata kepada 184.18, Indeks Tenaga berkurangan 15.40 mata kepada 747.46, manakala Indeks Perladangan melonjak 110.66 mata kepada 8,967.72.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 1.65 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran pula susut kepada 1.02 bilion unit bernilai RM121.03 million daripada 1.07 bilion unit bernilai RM147.22 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 622.37 juta unit bernilai RM209.06 juta daripada 559.21 juta unit bernilai RM195.49 juta sebelum ini.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 213.21 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (363.32 juta), pembinaan (107.16 juta), teknologi (365.05 juta), perkhidmatan kewangan (73.93 juta), hartanah (214.84 juta), perladangan (51.19 juta), amanah pelaburan hartanah (21.82 juta), dana tertutup (34,600), tenaga (59.59 juta), penjagaan kesihatan (143.74 juta), telekomunikasi dan media (33.66 juta), pengangkutan dan logistik (23.20 juta), utiliti (35.35 juta) dan amanah perniagaan (359,400).

-- BERNAMA