HAWANA Relevan Sebagai Platform Refleksi, Penghargaan Kepada Pengamal Media
Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) wajar diteruskan sebagai platform utama yang menyatukan warga media untuk menilai pencapaian, menangani cabaran semasa serta merangka masa depan industri kewartawanan yang berdepan perubahan pesat landskap media.
Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail berkata HAWANA harus kekal relevan sebagai ‘jantung’ yang menyatukan pengamal media.
"Setiap tahun kita dapat membuat refleksi, maksud refleksi di sini ialah kita menyedari hakikat apa yang telah kita lakukan dengan baik, ataupun yang telah kita gagal sepanjang setahun sebelum ini, serta apa yang sedang kita lalui dan cabaran semasa.
"Pada masa yang sama, pemain industri termasuk pencipta kandungan, wartawan dan organisasi media dapat berbincang mengenai masa depan industri yang berdepan perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai cabaran baharu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Ashwad ditemui selepas menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes serta Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.
Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Sementara itu, Pensyarah Komunikasi Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang Siti Nor Aina Omar berkata program seperti HAWANA memberikan impak positif kepada industri kewartawanan kerana berfungsi sebagai platform pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan.
Beliau berkata penganjuran HAWANA boleh diibaratkan sebagai satu perhimpunan tahunan yang menghimpunkan warga media serta memberikan penghargaan kepada pengamal media terdahulu dan semasa.
"Daripada perspektif akademik dan juga sebagai bekas pengamal industri, saya melihat program seperti ini mampu mengiktiraf profesion kewartawanan.
"Ia satu bentuk apresiasi kepada wartawan dan saya amat menikmati pengalaman pertama menghadiri program ini. Kehadiran tokoh-tokoh lama industri serta penghargaan yang diberikan kepada wartawan menjadikan program ini sangat baik dan bermakna," katanya.
Dalam pada itu, wartawan Sinar Harian Kedah, Siti Zubaidah Zakaria turut berpandangan bahawa HAWANA wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pengamal media di negara ini.
"HAWANA perlu diteruskan untuk menghargai jasa dan pengorbanan pengamal media di Malaysia, pada masa yang sama ia boleh ditambah baik dari segi kebajikan serta kelengkapan kerja yang diperlukan bagi memastikan laporan berita yang dibuat menepati fakta serta kebenaran," katanya yang bertugas sebagai wartawan sejak 17 tahun lepas.
Kira-kira 1,000 pengamal media khususnya wartawan termasuk dari beberapa negara ASEAN berkumpul di Pulau Pinang bermula semalam bagi menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.
HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH