Ribut Di Bercham Akibatkan Kerosakan Besar Rumah Penduduk - Ahli Parlimen
IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Kejadian ribut di sini petang semalam disifatkan luar biasa sehingga menjejaskan lebih 200 buah rumah membabitkan lima kawasan di sekitar Bercham, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata kejadian berkenaan yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini dipercayai berpunca daripada fenomena “belalai darat”.
“Sepanjang pengetahuan kita, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kawasan ini. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini ada juga beberapa kawasan dilanda ribut, tetapi biasanya melibatkan pokok tumbang atau kerosakan kecil.
“Namun kali ini agak berbeza kerana kesannya lebih teruk dan menyerupai taufan kecil,” katanya ketika meninjau proses pendaftaran maklumat mangsa di Dewan Senator Dato’ Shamsuddin Kampung Tersusun Tasek di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan segera sedang disalurkan kepada mangsa dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghulu serta agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata penduduk yang terjejas diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses penyaluran bantuan.
Beliau berkata perkara itu penting bagi pihak berkuasa menyediakan bantuan segera seperti makanan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat bencana tersebut.
“Kebimbangan utama penduduk sekarang ialah kemungkinan hujan berterusan kerana banyak rumah mengalami kerosakan bumbung. Kita telah menghubungi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menghantar kontraktor bagi menjalankan pembaikan segera, jika boleh pada hari ini juga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata setakat pagi ini sebanyak 240 kediaman serta lapan premis perniagaan dilaporkan terkesan akibat kejadian tersebut.
Beliau berkata kejadian ribut kira-kira 3 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan polis telah melakukan rondaan manakala beberapa kawasan ditutup untuk mengehadkan pergerakan.
“Jadi, mereka yang hendak masuk perlu melapor kepada anggota di lokasi. Tindakan itu sebab kita tengok banyak (mangsa) yang sedang mengemas rumah, kontraktor pun dah mula datang buat pembaikan, kita nampak agak sibuk dan anggota rondaan termasuk trafik ditempatkan untuk mengawal situasi,” katanya.
Muhammad Najib berkata setakat pagi tadi, kira-kira 121 laporan telah diterima berkaitan dengan kerosakan rumah dan kemusnahan harta benda.
Beliau berkata jumlah kerugian serta bilangan mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan kerana terdapat sebahagian pemilik rumah yang sedang bercuti dan ada juga kediaman yang disewakan kepada pihak ketiga.
“Dari segi keselamatan harta benda itu, kita tahu bila keadaan gelap di lokasi, bekalan elektrik terputus, jadi sebarang pergerakan yang perlu sahaja dibenarkan di lokasi.
“Kita harap tiada apa-apa kes dan kita juga (mahu elak kes jenayah) seperti kecurian kabel dan pecah rumah apabila kediaman ditinggalkan kerana semalam kita mendapati ada sebuah lori (pembeli) besi buruk masuk tanpa kebenaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Pasukan Khas Pertahanan Awam Perak Kapten (PA) C. Sehgar berkata pihaknya menerima banyak panggilan semalam mengenai kes pokok tumbang, kerosakan bumbung rumah dan tiang elektrik tumbang.
Beliau berkata kerja-kerja pembersihan telah dilakukan semalam dan bakinya sedang diteruskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan dibantu APM.
“(Hal ini) kerana banyak rumah, iaitu lebih 200 buah terjejas, jadi pihak APM masih bersama dengan semua agensi dan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat bagi memberikan bantuan awal,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH