20/06/2026 06:06 PM

HAWANA 2026: PM Anwar Sampaikan Sumbangan Tabung Kasih Kepada Tiga Pengamal Media

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA terus menjadi wadah kebajikan buat pengamal media apabila tiga lagi penggiat industri itu menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang kini berdepan masalah kesihatan.

Sumbangan berkenaan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Kesemua penerima terdiri daripada bekas Penerbit Eksekutif Media Prima Berhad Noraini @ Talhah Mat Tahir, wartawan Makkal Osai Guanalan Sengalaney dan bekas wartawan sambilan akhbar Kwong Wah Yit Poh Ch’ng Lay Wah.

Noraini, 63, yang berkecimpung selama 30 tahun dalam industri media kini berdepan masalah osteoartritis serius sejak Januari lepas dan keadaan itu menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan penggantian lutut.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai penerima Tabung Kasih@HAWANA ini. Sumbangan ini amat membantu saya dalam menanggung kos perubatan yang sangat tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Guanalan, 61, berkata bantuan itu memberikan suntikan semangat kepadanya untuk terus menjalani rawatan penyakit jantung dan tekanan darah tinggi yang dihidapinya.

Beliau yang berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang kewartawanan berkata kos rawatan dan ubat-ubatan yang perlu diambil secara berkala memerlukan perancangan kewangan teliti.

“Saya kini bekerja sebagai ‘live streamer’ (pengendali siaran langsung) bagi menampung sedikit sebanyak keperluan harian. Saya menanggung seorang isteri dan tiga anak,” katanya.

Adik kepada Lay Wah iaitu Ch’ng Goet Tin, 55, pula berkata sumbangan berkenaan amat membantu dalam urusan kesihatan kakaknya yang menghidap kanser payudara sejak dua tahun lepas.

“Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Komunikasi kerana memberi sumbangan ini. Kakak saya (Lay Wah) tidak dapat hadir kerana tahap kesihatannya tidak bagus. Kakak kini perlu menjalani kemoterapi serta mencuci luka setiap hari,” katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sejak 2023 telah memberi manfaat kepada 773 pengamal media di seluruh negara melibatkan jumlah bantuan bernilai RM2.26 juta.

Inisiatif itu diwujudkan bagi membantu pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan termasuk menerusi bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta bentuk sokongan lain.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 itu mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.

-- BERNAMA