20/06/2026 05:21 PM

Akta Keterjaminan Makanan Dijangka Dibentang Tahun Hadapan - Mohamad Sabu

KLANG, 20 Jun (Bernama) -- Akta Keterjaminan Makanan Negara dijangka dibentangkan di Parlimen tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Beliau berkata penggubalan akta berkenaan yang antara lain bertujuan memastikan kestabilan bekalan makanan negara kini sedang diperincikan sebelum dapat dibentangkan di Dewan Rakyat. 

“Akta Keterjaminan Makanan kita sedang gubal sekarang dan ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan kita sedang bincang insya-Allah tahun depan akan dikemukakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Road To MAHA 2026 Zon Tengah, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata perkara itu perlu disegerakan bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin susulan ancaman fenomena El Nino dan perubahan iklim yang berisiko mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.

Beliau berkata akta itu berupaya memastikan negara mempunyai sistem amaran awal, pelan kesiapsiagaan automatik serta mekanisme penyaluran bantuan, yang lebih berkesan kepada sektor pengeluaran makanan.

-- BERNAMA 

Kata kunci