20/06/2026 05:12 PM

Persidangan Solidariti Bersama Pelarian Garis 10 Resolusi, Seru Tindakan Holistik

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian sempena Hari Pelarian Sedunia 2026 hari ini menggariskan 10 resolusi termasuk menyeru kerajaan merangka pelan tindakan yang lebih holistik bagi menangani isu pelarian dengan mengambil kira kepentingan negara, kesejahteraan masyarakat tempatan dan tanggungjawab kemanusiaan.

Resolusi itu dibentangkan pada persidangan yang dihadiri wakil pertubuhan masyarakat, institusi akademik, badan kemanusiaan, organisasi antarabangsa, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan yang berlangsung di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (IAIS) Malaysia di sini hari ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata resolusi dan deklarasi yang dihasilkan menerusi persidangan itu akan dikongsi dengan ahli Parlimen serta pihak berkepentingan bagi membolehkan perbincangan lanjut diadakan.

Beliau berkata kandungan resolusi itu mencerminkan pandangan serta pengalaman NGO yang banyak terlibat di lapangan bersama komuniti pelarian, sekali gus bertujuan membantu kerajaan merangka langkah penyelesaian yang lebih berkesan dan menyeluruh terhadap isu tersebut.

“Kita juga cuba untuk mengadakan perbincangan susulan dengan pihak-pihak berkepentingan, khususnya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita selepas persidangan itu.

Persidangan bersempena dengan Hari Pelarian Sedunia yang disambut setiap 20 Jun itu, dianjurkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan ABIM dengan IAIS Malaysia. 

Ahmad Fahmi berkata persidangan berkenaan diadakan bagi menggalakkan pendekatan lebih seimbang terhadap isu pelarian selain mengurangkan salah faham, maklumat palsu dan sentimen kebencian yang semakin ketara dalam masyarakat.

Beliau berkata walaupun Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, negara mempunyai pengalaman panjang dalam mengurus isu kemanusiaan membabitkan pelarian dari Vietnam, Syria, Bosnia dan Palestin.

“Kita perlu bawa ke depan naratif bahawa kita mengakui adanya masalah, tetapi kita cuba untuk mengendurkan salah faham. Kita mahu membawa semula naratif ini ke medan tengah supaya ia tidak lagi hanya dilihat dalam isu-isu yang kebanyakannya disalah tafsir.

“Hari ini kita boleh bercakap tentang kebencian kepada pelarian, tetapi apabila suara ini tidak dibawa dan ditangani dengan sebaiknya, kita khuatir sentimen kebencian ini akan merebak kepada elemen-elemen lain,” katanya.

Antara resolusi yang dipersetujui ialah menolak segala bentuk kebencian, diskriminasi, nyahkemanusiaan (dehumanization) dan hasutan terhadap pelarian, pencari suaka serta golongan rentan, selain mengiktiraf kebimbangan sah masyarakat berkaitan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesejahteraan sosial dan keharmonian komuniti yang perlu ditangani secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta.

Persidangan itu turut menyokong usaha kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh pengumpulan data, pendaftaran serta dokumentasi pelarian bagi memastikan pengurusan yang lebih teratur, telus dan berkesan.

Selain itu, ia menggesa usaha memperkasakan pendidikan awam, literasi media dan langkah menangani maklumat palsu, ucapan kebencian serta sentimen xenofobia yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Resolusi turut menyokong penubuhan mekanisme sokongan komunikasi dan advokasi bagi membantu NGO, aktivis dan organisasi kemanusiaan menghadapi serangan, fitnah, disinformasi dan kempen kebencian di media sosial.

– BERNAMA