Perdana Menteri Hadir Rasmikan Sambutan Hari Kemuncak HAWANA 2026
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir untuk merasmikan sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini.
Ketibaan Anwar pada 2.40 petang itu disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Sebaik tiba, beliau turut berkesempatan melawat reruai pameran dan Galeri Foto HAWANA 2026, yang diadakan di ruang legar.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Majlis itu turut dihadiri delegasi Asean termasuk Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes, Setiausaha Rendah Negara Kementerian Penerangan Kemboja Prak Thaveak Amida Dan Setiausaha Tetap Pejabat Kabinet Kementerian Teknologi dan Komunikasi Laos Phuangpasert Keosouvanh.
Hadir sama Presiden agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) Noémio Mateus Soares Falcão dan Timbalannya Madalena DE JCP Carlos.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 turut disertai delegasi media antarabangsa termasuk Agensi Berita Indonesia (Antara), Vietnam News Agency (VNA), Xinhua News Agency, Persatuan Wartawan Indonesia serta Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah HAWANA dan Anugerah Khas HAWANA kepada tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia kewartawanan serta pembangunan pemikiran masyarakat, selain turut menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada veteran yang memerlukan.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana, HAWANA menjadi platform utama untuk menghargai dedikasi, profesionalisme dan peranan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih dan berwibawa kepada masyararakat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH