Lakukan Pemerasan Dalam Talian, Polis Bekukan Akaun Bank along
SIBU, 20 Jun (Bernama) -- Polis membekukan satu akaun bank melibatkan pemberi pinjaman wang tidak berlesen dalam talian atau along bagi membantu siasatan kes ugutan dan pemerasan yang dilaporkan di sini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata tindakan itu susulan seorang individu mendakwa menjadi mangsa tuntutan tidak munasabah oleh pemberi pinjaman berkenaan telah mendapatkan bantuan di pusat khidmatnya semalam.
Beliau berkata pengadu memaklumkan telah meminjam RM15,000 daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen itu menerusi platform dalam talian, dan membuat bayaran balik RM7,500 ke akaun bank peribadi pihak berkenaan.
“Pemberi pinjaman itu kemudian mendakwa pembayaran berkenaan menyebabkan akaun banknya dibekukan dan atas alasan itu bayaran RM7,500 tersebut tidak diiktiraf. Pemberi pinjaman menuntut pampasan tambahan sebanyak RM30,000 daripada pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiang berkata pengadu menganggap tuntutan berkenaan tidak munasabah dan hanya berhasrat menjelaskan baki pinjaman RM7,500 bagi menyelesaikan hutangnya.
Beliau berkata pusat khidmatnya kemudian mengiringi pengadu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Semakan oleh pegawai penyiasat mendapati akaun bank yang didakwa telah dibekukan sebenarnya masih aktif dan beroperasi seperti biasa.
“Polis kemudiannya mengambil tindakan membekukan akaun berkenaan bagi membantu siasatan lanjut. Berdasarkan siasatan semasa, pengadu tidak perlu membayar sebarang pampasan tambahan atau baki hutang yang dituntut oleh pihak terbabit,” katanya.
Tiang berkata polis turut menasihatkan pengadu supaya membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya maklumat peribadinya seperti gambar, nombor kad pengenalan atau alamat rumah disebarkan menerusi platform dalam talian.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH