Rapid KL Perkenal Rapid Bulanan Digital Melalui TNG Ewallet
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Rapid KL memperkenalkan Rapid Bulanan digital, pas perjalanan tanpa had yang kini boleh dibeli dan diaktifkan menerusi aplikasi TNG eWallet bagi memudahkan pengguna pengangkutan awam menikmati perjalanan harian.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam, selaras dengan aspirasi negara ke arah ekosistem mobiliti yang lebih pintar, cekap dan berteraskan pembayaran tanpa tunai.
"Melalui kemudahan baharu ini, pengguna tidak lagi perlu beratur di kaunter untuk mengaktifkan atau memperbaharui pas bulanan mereka. Keseluruhan proses kini boleh dilakukan terus menggunakan telefon pintar, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih pantas, mudah dan lancar," menurut kenyataan itu.
Rapid KL memaklumkan pas itu turut terbuka kepada semua pengguna termasuk bukan warganegara, berbeza dengan Pas My50 yang ditawarkan khusus kepada warganegara Malaysia.
"Direka untuk memenuhi keperluan penumpang harian dan pengguna pengangkutan awam yang kerap, pas ini boleh dinikmati oleh warganegara dan bukan warganegara, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan lebih mudah, fleksibel dan menjimatkan melalui satu pas bagi semua perjalanan," menurut kenyataan itu.
Melalui pas berkenaan, Rapid KL menyediakan perkhidmatan kepada pengguna bagi menikmati perjalanan tanpa had merentasi rangkaian merangkumi LRT, MRT, Monorel, BRT Sunway, bas Rapid KL dan bas perantara MRT.
Rapid KL memaklumkan pas berkenaan ditawarkan pada harga RM150 bagi tempoh sah laku 30 hari berturut-turut, sekali gus memberikan penjimatan kepada pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan awam.
"Pelaksanaan Rapid Bulanan digital akan meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada urusan fizikal di stesen serta menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod perjalanan harian," menurut kenyataan itu.
Pengguna hanya perlu memastikan telefon pintar mereka menyokong fungsi komunikasi medan dekat (NFC) dan aplikasi TNG eWallet versi terkini untuk menggunakan kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, pembelian pas secara fizikal di kaunter stesen Rapid KL masih disediakan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH