Kewartawanan Terus Main Peranan Penting Meskipun Landskap Media Berubah - Lee
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Profesion kewartawanan terus memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat walaupun landskap media berkembang pesat hasil kemajuan teknologi digital dan media sosial, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang diraikan di Pulau Pinang hari ini, beliau berkata wartawan kini beroperasi dalam persekitaran digital yang bergerak pantas dan banyak dipengaruhi media sosial apabila maklumat tidak tepat, berita palsu serta khabar angin boleh tersebar dengan cepat.
Lee berkata walaupun media sosial membolehkan berita disampaikan kepada khalayak secara serta-merta, ia turut menjadikan profesion kewartawanan lebih mencabar kerana wartawan semakin dituntut untuk mengesahkan maklumat yang beredar dalam talian.
“Sebahagian besar tugas wartawan pada masa kini melibatkan proses meneliti pelbagai kandungan bagi membezakan antara fakta dan rekaan serta memastikan masyarakat mengetahui perkara yang benar.
“Mereka juga berdepan tekanan berterusan untuk menarik pembaca dan meningkatkan jumlah tontonan, sering kali dengan sumber lebih terhad serta tempoh masa semakin singkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Lee berkata kewartawanan telah mengalami perubahan ketara sejak zaman awal profesion itu apabila wartawan bergantung kepada buku nota, pen dan telefon talian tetap untuk mendapatkan maklumat serta mempunyai lebih banyak masa untuk membuat penyelidikan, mengesahkan fakta dan memperkemas laporan mereka.
Selain itu, beliau berkata wartawan turut membina hubungan peribadi yang kukuh dengan sumber maklumat dan memberi tumpuan kepada ketepatan serta penyampaian cerita secara terperinci dan bermakna, manakala editor berita memainkan peranan penting dalam membentuk laporan sebelum diterbitkan.
“Pada masa itu, hanya ada mesin taip, buku nota dan telefon talian tetap. Dengan tempoh masa lebih panjang untuk membuat penyelidikan, mengesahkan maklumat dan menyunting hasil kerja mereka, wartawan dapat memastikan setiap laporan benar-benar tepat dan boleh dipercayai,” katanya.
Lee berkata proses penyelidikan pada ketika itu sering melibatkan pencarian dalam arkib keratan akhbar memandangkan enjin carian internet belum wujud.
Walaupun cara berita dihasilkan dan diedarkan mengalami transformasi besar, beliau berkata tujuan asas kewartawanan tetap tidak berubah.
“Sama ada menulis untuk akhbar tradisional atau memuat naik perkembangan di media sosial, tanggungjawab paling utama seorang wartawan yang bagus tetap sama, iaitu menyampaikan kebenaran dan memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat yang tepat,” katanya.
Aktivis sosial itu turut merakamkan penghargaan kepada wartawan veteran yang membantu membangunkan industri media negara selain menzahirkan penghargaan kepada para wartawan generasi kini atas komitmen berterusan mereka dalam menyampaikan berita kepada rakyat.
“Pada hujung minggu ini, kami ingin merakamkan penghargaan dan memberikan penghormatan kepada wartawan veteran yang meletakkan asas industri media negara. Kami juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para wartawan hari ini atas kerja keras setiap hari untuk membawa berita yang kita perlukan. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan anda,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH