Nenek Cedera Parah Dipukul Cucu Dengan Tukul Besi
DUNGUN, 20 Jun (Bernama) -- Seorang nenek berusia 79 tahun cedera parah, dipercayai dipukul cucunya menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.55 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila wanita warga emas itu menghalang cucu lelakinya berusia 25 tahun yang tinggal bersamanya untuk keluar rumah, sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.
“Suspek dipercayai telah menolak mangsa, sebelum bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ab Halim berkata mangsa telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Beliau berkata polis telah menahan suspek yang memiliki kad pesakit mental bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Agong, Raja Permaisuri Zahir Ucapan Selamat Hari Bapa
- Tiada Bayaran Di Selat Hormuz Selama 60 Hari, Trump Beri Amaran AS Mungkin Kenakan Caj Selepas Itu
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang