Selangor Perluas Akses Kesihatan Mampu Milik Melalui Selgate
SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor terus memperluas akses kepada rawatan kesihatan mampu milik menerusi rangkaian hospital di bawah Selgate Healthcare (Selgate) bagi membantu rakyat mendepani peningkatan kos perubatan dan premium insurans.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata Hospital Selgate Specialist Hospital Rawang yang dilancarkan Mei lepas kini terlibat dalam Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP), yang membolehkan pesakit tertentu dirujuk ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja memberi akses rawatan yang lebih pantas kepada pesakit, malah membantu mengurangkan tekanan dan kesesakan di fasiliti kesihatan awam.
“Kerajaan Negeri Selangor sedang memperkukuh kerjasama antara Selgate dengan syarikat insurans, Takaful, pentadbir pihak ketiga (TPA) serta sektor korporat bagi memastikan struktur harga rawatan kekal mampu dibayar, khususnya oleh golongan B40 dan M40,” katanya kepada Bernama.
Jamaliah berkata pemegang manfaat Iltizam Selangor Sihat (ISS) turut boleh mendapatkan rawatan bagi penyakit dan perkhidmatan yang dilindungi di bawah program berkenaan menerusi ekosistem Selgate.
Katanya, integrasi antara Selcare Management Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, dengan aplikasi SELangkah membolehkan proses pendaftaran, pengesahan kelayakan dan pengurusan manfaat kesihatan dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Matlamat kerajaan negeri adalah memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan kesihatan, tetapi dapat mengakses manfaat tersebut dengan mudah apabila memerlukan rawatan,” katanya.
Sementara itu, ketua Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash Malaysia Prof Dr Mohd Arshil Moideen menyifatkan model hospital swasta mampu milik diperkenalkan Selgate sebagai langkah intervensi yang berpotensi merapatkan jurang kemampuan rakyat mendapatkan rawatan ketika kos perubatan dan premium insurans terus meningkat.
Beliau berkata inisiatif itu juga mampu menjadi penyelesaian jangka pendek bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan, namun integrasi yang lebih formal antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh untuk memastikan manfaat yang lebih menyeluruh.
“Melalui kaedah pembelian perkhidmatan secara bersasar oleh Kementerian Kesihatan (KKM), dana awam boleh digunakan untuk membiayai prosedur tertentu bagi pesakit B40 di hospital seperti Selgate, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan hospital kerajaan dengan lebih berkesan,” katanya.
Mohd Arshil berkata kelestarian model hospital swasta mampu milik itu dalam jangka panjang bergantung kepada kepelbagaian sumber pendapatan bagi mendepani cabaran inflasi perubatan global dan kelemahan nilai mata wang.
Beliau turut mencadangkan penggunaan ubat generik berkualiti tinggi bagi mengawal kos rawatan serta mengurangkan kebergantungan kepada ubat dan peralatan import.
“Sebagai entiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Selgate boleh memanfaatkan kelebihan skala untuk mengurus rantaian farmasi sendiri dan memperkukuh pakej penjagaan kesihatan primer korporat yang lebih bersifat pencegahan,” katanya.
Mei lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan rasmi Selgate Specialist Hospital Rawang mampu menampung permintaan terhadap perkhidmatan pakar di koridor utara Selangor yang sedang mencatat pertumbuhan pesat populasi.
Beliau berkata hospital berkapasiti 224 katil itu bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan kesihatan swasta, malah menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluas manfaat kesihatan kepada rakyat.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH