Malaysia Mesti Keluar Daripada Model Berkos Rendah Bagi Menyokong Gaji Lebih Tinggi - Sim
GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada harga rendah sebagai kelebihan daya saing memandangkan model perniagaan berkos rendah turut mengehadkan kemampuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata PKS mesti meningkatkan produktiviti, menerima pakai teknologi dan bergerak ke rantaian nilai yang lebih baik untuk menjana pulangan yang lebih wajar dan mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.
“PKS bukannya tidak mahu membayar gaji yang lebih tinggi, tetapi ramai yang tidak mampu berbuat demikian disebabkan oleh model perniagaan yang mereka jalankan,” kata menteri itu dalam sesi dialog bertajuk ‘Memperkasa Ekosistem Keusahawanan’ di Forum Ekonomi Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.
Sim berkata persaingan yang bersandarkan kepada harga semata-mata akan meletakkan perniagaan Malaysia dalam kancah perlumbaan sengit yang merugikan, berdepan dengan destinasi kos yang lebih rendah di rantau ini.
Beliau berkata dasar KUSKOP berpandukan rangka kerja ABCD, yang memberi tumpuan kepada mempercepatkan produktiviti, mengurangkan birokrasi, menambah baik akses kepada modal dan memacu penyertaan pasaran.
Di bawah rangka kerja itu, beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk membantu PKS menerima pakai teknologi, mengurangkan kerenah pentadbiran, serta mendapatkan akses pembiayaan yang lebih baik dan pasaran baharu.
Sim berkata transformasi ekonomi Malaysia pada akhirnya mesti membolehkan syarikat tempatan memiliki teknologi, produk, jenama dan harta intelek mereka sendiri, berbanding terus bergantung kepada aktiviti yang memberikan margin keuntungan yang rendah.
“Inilah caranya untuk kita mewujudkan perniagaan bernilai tinggi, mengekalkan bakat kita dan membolehkan syarikat membayar gaji yang lebih baik,” tambah beliau.
Dianjurkan bersama oleh RHB Banking Group, Penang Institute dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, forum itu diadakan di bawah tema memajukan naratif pertumbuhan yang seterusnya untuk Pulau Pinang.
Lebih 300 peserta terlibat dalam perbincangan mengenai peluang ekonomi yang sedang berkembang, penyelesaian pembiayaan mampan, strategi bakat dan peningkatan skala, serta laluan untuk mengakses pasaran modal.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Top Glove Optimis Prospek Separuh Kedua 2026 Dipacu Permintaan Sarung Tangan Global
- PM Anwar, Isteri Ucap Takziah Kepada Nancy Atas Pemergian Suami
- Rusia Beri Jaminan Bekalan Petrol, Minyak Dan Gas Jangka Panjang Kepada Malaysia -- PM Anwar
- Indonesia Jangka Harga FFB Minyak Sawit Pulih Dalam Seminggu
- Malaysia Perlu Rangka Undang-undang, Regulasi Kukuh Sebelum Teroka Kuasa Nuklear – Persatuan Nuklear Sedunia