18/06/2026 09:37 PM

Top Glove Optimis Prospek Separuh Kedua 2026 Dipacu Permintaan Sarung Tangan Global

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd kekal optimis terhadap prospeknya bagi separuh kedua 2026, didorong oleh pertumbuhan permintaan global yang mampan bagi sarung tangan, asas penawaran dan permintaan industri yang baik serta peningkatan kecekapan operasi.

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata permintaan sarung tangan di seluruh dunia terus berkembang kira-kira 10 peratus setahun, sekali gus menyediakan persekitaran yang positif kepada industri walaupun persaingan dalam kalangan pengeluar berterusan.

“Pasaran memang wujud namun bergantung kepada sejauh mana keupayaan, kualiti produk dan kecekapan kos yang kita miliki. Kami percaya berasaskan pasukan yang lebih kuat dan lebih muda, Top Glove boleh mencatatkan prestasi lebih baik pada suku-suku akan datang,” katanya dalam taklimat secara maya mengenai prestasi kewangan suku ketiga berakhir 31 Mei, 2026 hari ini.

Beliau berkata permintaan global terhadap sarung tangan kini hampir sekali ganda berbanding tahap sebelum pandemik pada 2019, mencerminkan pertumbuhan penggunaan yang berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan dan perindustrian di seluruh dunia.

Sebahagian besar industri telah kembali kepada keadaan operasi normal dengan harga sarung tangan bergerak seiring kos bahan mentah, sama seperti tempoh sebelum pandemik, katanya.

“Ini mencerminkan dinamik penawaran dan permintaan yang lebih seimbang serta menjadi petanda positif bahawa industri sedang pulih dan semakin stabil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama, Lim Jin Feng berkata harga jualan purata (ASP), yang memuncak pada Mei susulan lonjakan harga lateks nitril akibat gangguan bekalan berkaitan konflik di Asia Barat, dijangka beransur-ansur turun sejajar dengan penyusutan kos bahan mentah.

“Bagi tempoh Jun hingga Ogos, harga dijangka turun menjejaki harga bahan mentah sama ada harga nitril atau bahan mentah getah.

“Bagi sarung tangan pembedahan, pelarasan harga lazimnya secara lebih beransur-ansur. Sebaliknya, sarung tangan bagi pemeriksaan, khususnya jenis lateks dan nitril, berkemungkinan mengalami pergerakan harga yang lebih besar dan dinamik,” katanya.

Mengenai operasi, Pengarah Urusan Bersama, Ng Yong Lin berkata kekurangan tenaga kerja masih melambatkan proses pengaktifan semula kilang, satu cabaran yang turut dihadapi pengeluar sarung tangan lain di Malaysia.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya terus meningkatkan produktiviti melalui inisiatif mengurangkan kesesakan proses, mempercepat kelajuan pengeluaran, mengurangkan masa henti operasi dan meminimumkan pembaziran.

“Kami juga sedang meneliti fasa automasi seterusnya untuk mengurangkan lagi keperluan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti. Kami akan terus mengurangkan bilangan pekerja yang diperlukan bagi setiap sejuta sarung tangan yang dihasilkan,” katanya.

Lim berkata Top Glove telah meningkatkan produktiviti dengan ketara dalam tempoh enam hingga tujuh tahun lepas dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja kepada kira-kira 10,000 orang pada masa ini berbanding lebih 18,000 pekerja sebelum pandemik.

Jumlah pekerja yang diperlukan untuk mengeluarkan satu juta sarung tangan kini turun kepada antara 1.7 hingga 1.8 orang berbanding sekitar 3.5 orang sebelum ini, manakala output meningkat kira-kira 10 peratus berbanding paras sebelum pandemik.

“Ini membuktikan kejayaan usaha automasi dan peningkatan produktiviti kami. Kami akan terus melabur dalam automasi dan kecerdasan buatan (AI) di seluruh pengeluaran, kawalan proses dan operasi di semua jabatan,” katanya.

Dalam melangkah maju, Pengarah Korporat, Lim Cheong Guan berkata harga lateks nitril kini berada dalam aliran menurun berikutan keadaan bekalan yang kembali stabil setakat Jun 2026.

Beliau berkata perkembangan itu dijangka membantu mengurangkan kesan semakan kenaikan harga gas asli yang dijangka berlaku dalam beberapa suku akan datang.

“Kami tidak boleh bergantung semata-mata kepada keadaan pasaran untuk memacu prestasi. Kejayaan mampan adalah berasaskan kecemerlangan operasi, disiplin kos, peningkatan kualiti, inovasi dan penambahbaikan kecekapan secara berterusan.

“Keupayaan pembuatan yang fleksibel, hubungan dengan pelanggan yang lebih kukuh serta pelaksanaan yang berdisiplin meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk menghadapi perubahan keadaan pasaran di samping terus memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.

Selain itu, beliau berkata gangguan bekalan bahan mentah dan ketidaktentuan pasaran baru-baru ini telah membolehkan pengeluar sarung tangan melaksanakan pelarasan harga yang diperlukan, sekali gus mengembalikan keuntungan dan margin kepada paras sebelum COVID-19 melanda.

“Walaupun keadaan ini memberikan rangsangan yang dialu-alukan industri, kami yakin ini juga merupakan satu langkah penting untuk memulihkan tahap keuntungan yang saksama dan mampan bagi pengeluar selepas beberapa tahun mengalami keadaan operasi yang mencabar,” katanya.

Bagi suku ketiga 2026, keuntungan bersih Top Glove melonjak kepada RM80.98 juta daripada RM34.74 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM830.25 juta.