17/06/2026 12:52 AM

Polis Rakam Keterangan Tujuh Individu Bantu Siasatan Insiden Letupan Anggota Tentera

ALOR SETAR, 16 Jun (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan tujuh individu setakat ini bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan yang menyebabkan dua anggota tentera maut semasa menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Baderulhisham Baharudin berkata pihaknya akan turut mengambil keterangan saksi lain yang berada di lokasi kejadian, yang melibatkan jurulatih, rakan selatihan dan pegawai lapang sasar yang turut mengikuti latihan berkenaan.

“Esok kita akan sambung lagi untuk dapatkan keterangan saksi lain bagi membantu siasatan kes berkenaan…peserta yang terlibat dalam latihan dan mereka yang berada di tempat kejadian, termasuk penyelia dan sesiapa sahaja yang berada di tempat kejadian.

“Kedua-dua jenazah berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kita harap ia dapat diselesaikan malam ini juga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Setakat ini, dapatan kita tidak ada ‘foulplay’ tetapi siasatan menyeluruh (akan dibuat) termasuk terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Dalam masa sama, saya juga ingin memohon orang ramai tidak menularkan gambar-gambar kejadian bagi menghormati mangsa dan keluarga mangsa. Ini juga bagi memberi ruang kepada pihak polis dan tentera untuk menjalankan siasatan secara terperinci, dan jangan buat sebarang spekulasi berkaitan kes,” katanya.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun, kira-kira 10.57 pagi hari ini.

Dua anggota yang terlibat iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.

Kedua-dua anggota telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

-- BERNAMA