Proses Bedah Siasat Jenazah Koperal Norazmi Dijangka Malam Ini - Sepupu
ALOR SETAR, 16 Jun (Bernama) -- Proses bedah siasat jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar, anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang maut akibat letupan semasa Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun akan dijalankan malam ini.
Perkara itu dimaklumkan sepupu Allahyarham, Sulaiman Mat Saad, 40, yang ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
“Saya dimaklumkan proses bedah siasat akan bermula sebaik proses pengecaman dibuat oleh ahli keluarga arwah," katanya.
Sulaiman berkata selepas bedah siasat selesai, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Busyra, Merbok, Sungai Petani dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam masjid berkenaan.
Sementara itu, difahamkan jenazah seorang lagi anggota tentera iaitu Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dijangka dibawa ke kampung halamannya di Johor.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart kira-kira 10.57 pagi tadi.
Allahyarham Norazmi dan Siti Khadijah mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.
Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah kemudian dihantar ke HSB untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Berucap Di Forum Perniagaan ASEAN-Rusia
- Masjid Putra Tumpuan 5,000 Tetamu Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Pagi Ini
- PMÂ Anwar Tiba Di Kazan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin