Wakil Media Antara 208 Pemain Golf Beraksi Pada Piala Mazda 2026
SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Seramai 208 pemain golf amatur terdiri daripada 188 ahli kelab serta 20 pemain jemputan, penaja dan wakil media berentap pada Kejohanan Golf Piala Mazda 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Glenmarie, di sini, hari ini.
Kejohanan tahunan yang memasuki edisi kelima itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu jemputan dan ahli Kelab Golf Glenmarie yang beraksi di Lapangan Valley dan Lapangan Garden.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Gross, Nett, Medal A, Medal B, Medal C dan Wanita.
Selain itu, Mazda turut menawarkan hadiah sebuah kenderaan keluaran syarikat itu kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one, selain pelbagai hadiah novelty.
Juara kategori Gross menjadi milik pemain handikap sifar, Muhammad Hafizullah Moithu Kutty, selepas mencatat 73 pukulan. Tempat kedua dimenangi pemain handikap enam, Alias Anuar dengan 74 pukulan, manakala pemain handikap lapan, Ahmad Suhaimi Yaacob, menduduki tempat ketiga menerusi 75 pukulan.
Bagi kategori Nett, Chua Yong Hua yang beraksi dengan handikap 16 dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 44 mata dengan 64 pukulan.
Sementara itu, Ir Abi Sufyan Zaiunudin muncul juara Medal A selepas mengumpul 41 mata menerusi 67 pukulan. Tempat kedua menjadi milik pemain handikap 12, Abdul Razak Hashim dengan 39 mata (69 pukulan), manakala pemain handikap 11, Datuk Hazman Ahmad, menduduki tempat ketiga selepas mengutip 38 mata menerusi 70 pukulan berdasarkan kiraan OCB.
Bagi kategori Medal B, pemain handikap 16, MJ Logaa S, muncul juara selepas mengumpul 43 mata dengan 65 pukulan. Tempat kedua diraih pemain handikap 18, Mohamed Shukry Ramli dengan 67 pukulan berdasarkan kiraan OCB, diikuti pemain handikap 17, Mohd Azman Mohd Yakim yang turut mencatat 67 pukulan.
Kategori Medal C pula dimenangi pemain handikap 21, Datuk Jamil Osman yang mengumpul 39 mata menerusi 69 pukulan. Tempat kedua menjadi milik pemain handikap 20, Lim Boon Swee dengan 38 mata dan 71 pukulan berdasarkan kiraan OCB, manakala Tan Heng Chuan yang turut beraksi dengan handikap 20 menduduki tempat ketiga dengan catatan sama.
Dalam kategori Wanita, Lim Si Ying muncul juara selepas mengumpul 40 mata menerusi 68 pukulan untuk mengatasi Mastura Aseli di tempat kedua dan Datin Seri Norhidayah Azmi di tempat ketiga.
Sementara itu, wakil Bernama, Jaiarajo Letchumanan, berjaya meraih tempat kedua keseluruhan bagi kategori jemputan, penaja dan wakil media selepas mengumpul 37 mata dengan catatan 84 pukulan.
Beliau membawa pulang baucar tunai AEON bernilai RM500 serta sijil penyertaan program kesihatan diri.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Polis Rakam Keterangan Tujuh Individu Bantu Siasatan Insiden Letupan Anggota Tentera
- Proses Bedah Siasat Jenazah Koperal Norazmi Dijangka Malam Ini - Sepupu
- Sistem Pesawat Tanpa Pemandu ANKA-S Lonjak Keupayaan Pengawasan Maritim Negara
- Umat Islam Sambut 1 Muharam Dengan Mengimarahkan Masjid dan Surau
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi