16/06/2026 08:11 PM

Komuniti Setempat Prihatin Bantu OKU Lembam Dapatkan Kad Pengenalan

SEREMBAN, 16 Jun (Bernama) -- Seorang orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 20 tahun akhirnya menerima kad pengenalan yang melengkapkan pengesahan identitinya sebagai warga Malaysia hasil bantuan komuniti setempat di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini.

Penghulu Mukim Sikamat dan Ampangan, Mohd Aziz Kamaldin berkata permohonan kad pengenalan Syakawie Abdullah itu dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan diuruskan oleh seorang individu prihatin, Kamaruddin Omar dengan bantuan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Balkhis Abdul Wahab.

Beliau berkata Kamaruddin turut membantu OKU tersebut dengan memberikan tempat berteduh di belakang rumahnya di Kampung Sungai Pupoh Ampangan sejak empat tahun lepas.

"Syakawie ini difahamkan merupakan OKU lembam, dia ditinggalkan ibunya sejak dilahirkan dan hanya memiliki sijil kelahiran sahaja. Remaja ini besarkan oleh bapanya yang berkerja sebagai pemandu lori, namun bapanya telah meninggal dunia sejak 2022.

"Apabila dia tiada kad pengenalan banyak urusan terganggu, malah kita juga tidak dapat membuat permohonan kad OKU kepadanya...kalau ada kad itu, senanglah dia dapat bantuan dan keistimewaan lain," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Mohd Aziz berkata Syakawie pernah tinggal di sebuah rumah kebajikan bagaimanapun dia kembali ke rumah untuk menjaga bapanya yang menghidap penyakit kronik sebelum meninggal dunia pada 2022.

Majlis penyampaian kad pengenalan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri di Seremban hari ini.

-- BERNAMA