16/06/2026 08:05 PM

Masa Depan Media Terletak Pada Kepercayaan Awam, Bukan Kandungan Tular

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Masa depan media bukan ditentukan oleh siapa yang paling pantas menghasilkan kandungan, sebaliknya pihak yang paling mendapat kepercayaan masyarakat dalam menyampaikan maklumat sahih, kata Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod.

Beliau berkata dalam era ledakan maklumat dan persaingan sengit untuk menarik perhatian khalayak, organisasi media perlu mencapai keseimbangan antara kepantasan dan tanggungjawab bagi memastikan ketepatan fakta.

“Kandungan tular bersifat sementara tetapi kepercayaan dibina dalam jangka masa panjang. Hari ini masyarakat tidak kekurangan berita, sebaliknya apa yang semakin bernilai ialah maklumat yang boleh dipercayai,” katanya dalam ucapan penutup pada dialog industri bertemakan Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini hari ini.

Mohamad Salmi berkata perkembangan teknologi digital, ekonomi perhatian dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas telah mengubah cara berita dihasilkan, diedar dan digunakan, sekali gus mewujudkan cabaran baharu terhadap profesion kewartawanan.

Beliau berkata meskipun teknologi memberi pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kecekapan penghasilan kandungan dan analisis data, prinsip teras kewartawanan seperti ketepatan, keseimbangan, integriti dan tanggungjawab perlu terus dipelihara.

“Persoalannya bukan sama ada AI akan digunakan atau tidak, tetapi bagaimana teknologi ini dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengorbankan nilai etika dan integriti kewartawanan,” katanya.

Mohamad Salmi yang juga naib cancelor sebuah universiti swasta berkata kajian menunjukkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun masih menganggap media arus perdana sebagai sumber maklumat yang lebih tepat biarpun mereka cenderung mendapatkan berita melalui media sosial disebabkan pengaruh rakan sebaya dan pencipta kandungan digital.

Menurut beliau, teknologi termasuk AI perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan dipercayai khususnya terhadap golongan muda yang menjadi antara sasaran utama dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu.

Mohamad Salmi berkata MCMC akan terus menyokong perkembangan industri komunikasi dan media menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan literasi media serta meningkatkan keselamatan dalam talian.

Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata organisasi media perlu menolak kecenderungan terhadap laporan sensasi, sebaliknya mengutamakan ketepatan fakta serta kepercayaan awam.

Beliau berkata walaupun perhatian khalayak kini menjadi aset bernilai dalam era digital, organisasi media perlu kekal komited dalam mendidik masyarakat, mengesahkan maklumat serta menangani penyebaran maklumat palsu.

“Proses pengesahan memerlukan masa dan kita tidak mampu bersaing dengan akaun tanpa nama yang menyebarkan maklumat tidak sepenuhnya benar. Tanggungjawab kita adalah untuk mendidik, membuat pengesahan dan kekal teguh menangani maklumat palsu," katanya.

Yong berkata maklumat kini menjadi alat amat berpengaruh dalam membentuk cara masyarakat berfikir, membuat pilihan ketika mengundi dan bertindak. Sehubungan itu, kewartawanan perlu terus berperanan sebagai tonggak demokrasi dengan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan serta memberikan maklumat yang bertanggungjawab kepada rakyat.

“Masa depan bergantung terhadap keupayaan menggabungkan kecanggihan teknologi dengan kebijaksanaan manusia," katanya.

Dalam menghadapi 2030, Yong berkata industri perlu menumpukan kepada pembinaan ekosistem media yang berdaya tahan, inovatif serta diyakini, dengan mengekalkan standard etika tertinggi serta memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap penyebaran kandungan yang memudaratkan.

Beliau berkata kekuatan sesebuah media tidak wajar diukur menerusi jumlah perkongsian atau tontonan yang dicapai, sebaliknya tahap kepercayaan diberikan masyarakat terhadapnya.

-- BERNAMA