KPKT Serah 301 Surat Tawaran Rumah PPR Di Rembau
REMBAU, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menyerahkan 301 surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau Fasa 2 di Taman Dato' Undang Haji Muhammad Sharip, Chembong di sini menerusi skim sewa untuk milik (RTO) kepada penerima terpilih.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sebanyak 2,683 permohonan diterima bagi PPR Rembau, iaitu melebihi lima kali ganda unit disediakan, sekali gus membuktikan permintaan tinggi terhadap perumahan mampu milik di kawasan itu.
Beliau berkata memandangkan permintaan sangat tinggi, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 serta memenuhi syarat kelayakan lain bagi memastikan keadilan sosial dapat direalisasikan.
“Proses pengisian PPR Rembau ini memberi faedah dan nilai tambah amat besar kepada landskap sosioekonomi Negeri Sembilan. Fasa pertama telah berlangsung pada 25 Julai 2025 dengan kadar pengisian semasa sebanyak 151 unit.
“Penyediaan rumah berkualiti pada kadar mampu bayar akan menjadi kunci utama membasmi gejala setinggan dan belenggu kemiskinan di segenap ceruk negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Majlis penyerahan itu turut disempurnakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar.
Beliau berkata agenda perumahan di bawah KPKT bukan sekadar membina kediaman, sebaliknya membina persekitaran yang dilengkapi fasiliti awam bermutu demi menjamin kualiti hidup rakyat.
“Kami mahu kestabilan tempat tinggal ini menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial yang cemerlang dan membasmi kemiskinan di Negeri Sembilan,” katanya.
PPR Rembau mula dilaksanakan pada 4 Mac 2020 melibatkan kos RM91.2 juta dengan pembinaan 452 unit rumah teres setingkat, termasuk empat unit khas untuk orang kurang upaya (OKU) di atas tapak seluas 16.06 hektar (39.7 ekar).
Setiap unit berkeluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti surau, dewan komuniti, tadika, taman permainan dan medan selera.
Menerusi skim RTO itu, penyewa yang layak dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan hanya perlu membayar RM225 sebulan selain caj penyelenggaraan RM12 sebulan, sekali gus membuka peluang kepada golongan B40 memiliki rumah tanpa beban kewangan permulaan yang tinggi.
-- BERNAMA
Berita terkini
- KPJ Healthcare Terus Memajukan Sistem Kesihatan KPJ, Perluas AI Dalam Penjagaan Kesihatan
- "Buku Bertemu Ruas" Piala Dunia Saksikan Empat Keputusan Seri Sejak 1958
- Uzbekistan Berminat Perkukuh Hubungan Pelaburan, Perniagaan Dengan Malaysia, ASEAN
- Karyawan Berhasrat Serah Resolusi Konvensyen Penggiat Muzik Kepada PM
- Pasukan Iran Diarah Tinggalkan AS Serta-Merta Selepas Perlawanan Pembukaan Piala Dunia