Pameran Karya Agung Seni Islam Louvre Di ACM Singapura Mulai 19 Jun
SINGAPURA, 16 Jun (Bernama) -- Muzium Tamadun Asia (ACM) Singapura akan menganjurkan pameran Crosscurrents: Masterpieces of Mughal, Safavid, and Ottoman Art dengan kerjasama Muzium Louvre, Paris bermula 19 Jun 2026 hingga 24 Januari 2027.
Dalam satu kenyataan, ACM memaklumkan pameran itu menampilkan 100 karya agung daripada koleksi seni Islam Louvre bersama 30 karya daripada koleksi ACM.
Pameran berkenaan menelusuri bagaimana perdagangan, diplomasi, penghijrahan dan pertukaran seni membentuk dunia kosmopolitan yang merangkumi Istanbul, Isfahan, Delhi hingga Asia Tenggara.
Pengarah ACM dan Muzium Peranakan, Clement Onn berkata kerjasama dengan Louvre membawa beberapa karya seni Islam terbaik dunia ke Singapura, dengan kebanyakannya dipamerkan di Asia Tenggara buat kali pertama.
“Dengan meletakkan karya ini bersama objek daripada koleksi ACM sendiri, pameran ini mengetengahkan hubungan seni dan budaya yang menghubungkan Asia Tenggara dengan dunia Islam yang lebih luas selama berabad-abad.
“Ia juga menampilkan Asia Tenggara dengan lebih jelas dalam naratif lebih besar ini, menunjukkan kedudukan penting rantau itu dalam rangkaian perdagangan, diplomatik dan kebudayaan yang menghubungkan Asia merentasi jarak yang luas,” katanya pada Selasa.
Onn berkata pameran itu akan dibuka serentak dengan pemeteraian Pelan Hala Tuju Singapura-Perancis mengenai Kerjasama Kebudayaan.
Menurut ACM, pameran itu menampilkan koleksi seni dari abad ke-16 hingga ke-18 oleh empayar Mughal, Safavid dan Uthmaniyyah, yang muncul sebagai pusat utama seni dan kebudayaan.
Seniman di seluruh empayar itu menggabungkan pengaruh dari China hingga Eropah, sekali gus menghasilkan bahasa visual tersendiri yang melahirkan antara karya seni Islam terbaik.
“Antara karya agung yang dipamerkan ialah sebuah cawan jed Uthmaniyyah daripada koleksi diraja Louis XIV yang pernah dipamerkan di Istana Versailles sebelum menjadi sebahagian daripada koleksi Louvre pada 1796,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- KPKT Serah 301 Surat Tawaran Rumah PPR Di Rembau
- Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Susulan Kadar Faedah BOJ Meningkat
- Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Bagi Hari Kedua Berturut-turut
- Scanwolf Peroleh Projek Substruktur Bernilai RM75 Juta Di KL
- Sultan Selangor Nasihat Umat Islam Sentiasa Utamakan Perpaduan