16/06/2026 03:49 PM

Agihan Kerusi PRN Johor, Negeri Sembilan Muktamad Minggu Depan - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Rundingan pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, dijangka akan dimuktamadkan sepenuhnya minggu depan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

“Kita sedang dalam perundingan, insya-Allah minggu depan kita conclude semua sekali,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Ibu Pejabat Tribunal Antibuli di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini.

Majlis Pelancaran Tribunal Antibuli disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengenai corak kempen BN pada kedua-dua PRN berkenaan, Asyraf Wajdi berkata gabungan itu menggunakan pendekatan menjelaskan serta menawarkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi parti UMNO dan Barisan Nasional, kita telah pun buat satu ketetapan yang jelas dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang lepas. Kita tidak akan fokus kepada (kempen yang) hentam lawan, peribadi. Kita menyatakan apa dasar dan yang kita nak tawarkan kepada rakyat.

“Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dah memberitahu bahawa kita jangan sentuh soal peribadi dan soal membuka aib mana-mana pihak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

PRN Johor pada 2022 menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) (tiga) dan MUDA (satu).

Bagi PRN Negeri Sembilan, SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala 18 Julai sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 28 Julai.

PRN Negeri Sembilan pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, apabila menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN dengan PH memenangi 17 kerusi diikuti BN (14) manakala PN (lima).

-- BERNAMA